Kerajaan Singapura Bayar RM2.4 Juta Akibat Alahan Vaksin

TERKINI
August 18, 2021 - 12:26 PM


Kerajaan Singapura bersetuju membayar sebanyak 782,000 dolar Singapura (RM2.44 juta) kepada 144 individu menerusi Program Bantuan Kewangan Kecederaan (VIFAP) bagi kempen vaksinasi Covid-19 kebangsaan bagi mereka yang mengalami kesan sampingan serius akibat vaksin Covid-19.

Program tersebut melibatkan rakyat Singapura, penduduk tetap dan pemegang pas jangka panjang, dan VIFAP turut memberikan bantuan kewangan kepada individu berkelayakan bagi pembayaran tahap kedua nanti sebanyak 10,000 dolar Singapura (RM31,218) kepada pesakit yang ditahan di unit rawatan rapi atau penjagaan intensif. 

Bagi individu yang dimasukkan ke hospital dan pusat perubatan akan menerima 2,000 dolar Singapura (RM6,243) semasa tahap ketiga kelak. 

Dua daripada pemohon sudah dibayar 225,000 dolar Singapura (RM702,422) selepas penerima vaksin maut atau mengalami hilang upaya anggota badan secara kekal akibat divaksin dan seorang pemohon lelaki berusia 16 tahun pula layak menerima pembayaran bagi peringkat pertama kerana menderita penyakit jantung selepas suntikan pertama vaksin. 

MOH dalam kenyataan berasingan menjelaskan lelaki itu sudah pulih dan berada dalam keadaan stabil serta menjalani rawatan susulan pemulihan pesakit, dia menerima suntikan dos pertama vaksin pada 27 Jun dan pengsan di rumah 3 Julai lalu, selepas mengangkat peralatan berat di gimnasium.