Jururawat Nafi Cucuk Vaksin Kosong Terhadap Kanak-kanak

TERKINI
February 16, 2022 - 03:19 PM


“Demi Allah saya tak ada langsung keluarkan apa-apa vaksin, yang tak masuk pada badan budak-budak,” itu penjelasan jururawat yang memberi suntikan dos vaksin Covid-19 kepada anak bongsu Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Menerusi video yang dimuat naik pada Facebook Kementerian Kesihatan, wanita tersebut menjelaskan, dia sudah melakukan prosedur yang betul sepanjang pemberian vaksin Covid-19 itu menerusi Program Vaksinasi Covid-19 Kanak-Kanak (PICKids).

“Saya melakukan prosedur sama kepada ibu bapa lain iaitu saya ambil vaksin dan tunjukkan jenisnya, saya tunjuk cara saya keluarkan vaksin itu dari botol, saya tunjuk kuantitinya dan kemudian diberikan kepada kanak-kanak.

“Ibu bapa juga nampak dan bersetuju dengan dos yang digunakan. Disebabkan kita berdepan dengan kanak-kanak, kita tahu kebimbangan mereka pada jarum, jadi saya berinteraksi dengan mereka sebagai situasi menang-menang iaitu saya boleh cucuk dia dan dia pun tak takut pada saya,” katanya.

Penjelasan tersebut susulan tuduhan dan fitnah oleh segelintir netizen yang mendakwa jururawat itu memberikan suntikan kosong kepada Raif iaitu anak bongsu Khairy Jamaluddin sewaktu mendapatkan vaksin Covid-19 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 13 Februari lalu.

Dalam pada itu, jururawat itu berkata, ketika mahu memberikan suntikan tersebut, dia memegang kanak-kanak tersebut manakala satu lagi tangan memegang picagari.

“Saya cuba alihkan perhatian dengan meminta dia mengira dari satu hingga 10 dan secara perlahan-lahan, saya pinch (cubit) dan selepas nampak dia ok dan tak bergerak, saya cepat-cepat beri suntikan sambil saya juga mengira satu hingga 10.

“Vaksin itu tidak boleh keluar melainkan kalau kita tekan (picagari), anda semua boleh nampak dengan jelas melalui video. Prosedur apabila beri suntikan, anda perlu tarik sikit untuk tak kena saluran darah.

“Saya tutup dengan kapas dan tunjuk pada ibu bapa berapa kuantiti yang masuk, saya asingkan ke tepi kemudian saya plaster. Itu saja dan memang tidak ada buang apa-apa dan ada yang kata angin ke apa… tak ada,” ujarnya. 

Destination: