Kita Bakal Guna Pasport Vaksin ASEAN Untuk Melancong?

TERKINI
July 29, 2021 - 10:33 PM


Disebabkan ketika ini kebanyakan negara ASEAN di landasan yang tepat dalam mempercepatkan program imunisasi kebangsaan termasuk Malaysia, justeru sudah tiba masanya anggota ASEAN bekerjasama dalam mewujudkan 'Sijil Digital COVID-19 ASEAN'.

Sijil tersebut adalah sebagai persediaan untuk pembukaan semula sempadan di rantau ini agar rakyat di kesemua negara berjiran itu dapat kembali melakukan perjalanan pelancongan serta pengembaraan yang lebih selamat dalam era pandemik.

Bagi merealisasikan hasrat mewujudkan Sijil Digital COVID-19 ASEAN itu -- satu set prosedur operasi standard (SOP) yang seragam perlu diadakan bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan negara ASEAN dengan menimbangkan pas lawatan IATA dan pasport vaksin WHO.

Cadangan ini disuarakan oleh Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA).

Presiden MATTA, Datuk Tan Kok Liang berkata memiliki sijil ini akan menjadi satu penyelesaian yang praktikal dalam melihat risiko status penumpang sebelum perjalanan, termasuk memberikan keyakinan kepada pengembara untuk perjalanan yang selamat.

"Secara idealnya, Sijil Digital COVID-19 ASEAN akan memberikan maklumat bukti vaksinasi untuk menunjukkan jika seseorang itu mempunyai keputusan ujian SARS-COV-2 yang negatif atau telah pulih daripada COVID-19," katanya.

MATTA mencadangkan proses verifikasi 'sehenti' sebelum waktu berlepas -- membabitkan koordinasi antara pihak berkuasa, lapangan terbang dan syarikat penerbangan bagi mengelakkan duplikasi.

Negara-negara ASEAN juga seharusnya memastikan bahawa verifikasi dijalankan seawal mungkin dan sebaiknya sebelum pengembara tiba di lapangan terbang bagi memastikan pergerakan yang lancar bagi kesemua pihak terbabit.

Dengan adanya Sijil Digital COVID-19 ASEAN, ia bakal membuktikan bahawa negara-negara ASEAN adalah agresif dan tidak ketinggalan dalam proses membangunkan semula industri pelancongan dan ekonomi di rantau ini.

Sumber: BERNAMA

Destination: