'No Mix & Match!' - Amaran WHO Kepada Negara Nak Campur Vaksin

TERKINI
July 13, 2021 - 06:40 PM


Sebelum ini kita ada mendengar beberapa dakwaan bahawa mencampurkan dua dos vaksin daripada jenama yang berbeza dikatakan mampu memberi menawarkan kesan perlindungan yang lebih baik sehingga ada negara yang membuat keputusan untuk melaksanakannya.

Bagaimanapun, semalam (12 Julai) -- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengeluarkan amaran kepada negara-negara yang ingin membenarkan rakyatnya menerima campuran vaksin Covid-19 supaya menghentikan hasrat tersebut.

Amaran itu dikeluarkan oleh pakar-pakar WHO susulan terdapat data yang amat sedikit mengenai kesan kesihatan daripada suntikan campuran tersebut.

“Trend ini agak berbahaya. Kita tidak mempunyai data dan bukti berkaitan campuran vaksin Covid-19.

“Keadaan akan menjadi huru-hara jika rakyat sesebuah negara diberikan peluang untuk memilih bila dan siapa yang akan menerima dos kedua, ketiga dan keempat,” kata Ketua Saintis WHO, Dr. Soumya Swaminathan.

Sebelum ini, Thailand membuat pengumuman untuk membenarkan penduduknya mendapatkan campuran suntikan vaksin AstraZeneca dan Sinovac sebagai dos pertama dan kedua bagi membantu mengurangkan kenaikan kadar kes di negara itu.

Selain Thailand, Kanada pada bulan lepas turut memaklumkan penduduknya yang telah menerima vaksin AstraZeneca dalam suntikan pertama boleh menerima sama ada vaksin Pfizer atau Moderna sebagai dos kedua.

“Terdapat bukti baharu yang mencadangkan bahawa tindak balas imun adalah lebih baik apabila seseorang mendapatkan vaksin AstraZeneca dan diikuti dengan vaksin mRNA sebagai dos kedua,” kata Naib Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Kebangsaan Imunisasi Kanada, Dr. Shelley Deeks pada bulan lepas.

Deeks bagaimanapun memberi jaminan bahawa mereka yang telah menerima satu atau dua dos vaksin AstraZeneca turut menerima perlindungan yang berkesan.

“Sesiapa yang telah menerima dua dos AstraZeneca atau Covishield dijamin telah dilindungi daripada gejala-gejala sakit kronik.

“Tidak perlu mendapatkan dos ketiga buat masa ini,” katanya.

Sumber: Reuters

Destination: