Betul Ke Boleh Rentas Daerah? Nantikan Pengumuman Kelebihan Orang Lengkap 2 Dos Lepas Raya Haji Ini

TERKINI
July 19, 2021 - 01:55 PM


Tak sabarnya nak tunggu lepas Hari Raya Aidiladha, ternanti-nanti apa kelebihan yang bakal dimiliki oleh individu yang selesai dengan 2 dos vaksin...

Ini kerana kerajaan dijangka bakal mengumumkan beberapa kelonggaran buat individu yang telah lengkap dua dos vaksin selepas Hari Raya Aidiladha pada 20 Julai.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob -- jawatankuasa teknikal sedang membuat kajian terperinci ketika ini dan akan diputuskan oleh Majlis Pemulihan Negara (MPN).

“Kita akan beri kelonggaran kepada rakyat yang telah mendapat dua dos vaksin. Sekarang jawatankuasa teknikal sedang mengkaji secara terperinci siapa yang boleh bergerak dan dilonggarkan untuk mereka yang mendapat dua dos vaksin.

“Malah kerajaan juga sedang mengkaji sektor yang boleh dilonggarkan apabila mendapat dua dos vaksin. Jadi perkara ini sedang diteliti selepas Aidiladha kita akan umumkan,” katanya dalam satu sidang media pada Isnin (19 Julai).

Sabtu lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kelonggaran bagi individu yang lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19 akan diputuskan pada mesyuarat MPN minggu ini.

Kelonggaran itu bagi memberi faedah atau keistimewaan kepada mereka yang lengkap dos vaksin masing-masing.

Jelas beliau, ia kemungkinan termasuk mempertimbangkan kebenaran merentas daerah.

Sumber: FMT

Destination: