'Vaksin Kayangan' Pun Akan Keluarkan Dos Ketiga / Booster Shot Bagi Perlindungan Berganda!
TERKINIJika sebelum ini ramai yang berebutkan vaksin daripada syarikat biofarmaseutikal Amerika, Pfizer yang didakwa mereka paling berkesan dalam melindungi diri daripada wabak Covid-19 sehingga ia disifatkan sebagai 'vaksin kayangan' oleh kebanyakan netizen di Malaysia.
Namun pada Rabu (29 Julai) pihak Pfizer sebaliknya menyatakan dengan pengambilan dos ketiga vaksin tersebut adalah lebih berkesan meningkatkan tahap perlindungan antibodi terhadap varian Delta, berbanding hanya dua dos suntikan sebelum ini.
Menurut syarikat tersebut, tahap antibodi terhadap varian Delta pada individu berusia 18 hingga 55 tahun yang menerima dos ketiga vaksin Pfizer/BioNTech adalah 5 kali ganda lebih tinggi daripada dos kedua.
Manakala dalam kalangan individu berusia 65 hingga 85 tahun -- data Pfizer menunjukkan tahap antibodi terhadap varian Delta selepas menerima dos ketiga, 11 kali ganda lebih tinggi berbanding dos kedua.
Oleh itu, Ketua Penyelidikan, Pembangunan dan Perubatan Pfizer Global, Mikael Dolsten menjangkakan Pfizer akan membuat permohonan kebenaran penggunaan kecemasan untuk dos ketiga vaksinnya seawal bulan depan.
Sementara itu, di negara kita keputusan untuk pengambilan dos ketiga atau booster shot vaksin Covid-19 hanya akan dibincangkan oleh sekumpulan pakar pada Mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) pada minggu depan.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata perbincangan akan turut melibatkan cadangan pemberian vaksin yang berlainan.
"Kita akan ada kemas kini berkenaan kajian booster shot pada mesyuarat JKJAV pada minggu depan. Saya difahamkan, kumpulan pakar akan membuat beberapa syor berkenaan dengan booster shot atau dos ketiga dan ini juga ada kaitan dengan pemberian vaksin yang berbeza-beza," katanya dalam satu sidang media melalui aplikasi Zoom.
Sumber: Bernama