KLIA Mula Uji Teknologi Pengecaman Wajah, Gempak Juga Tengok Video Dorang!

TERKINI
April 14, 2022 - 05:21 PM


Pada Januari 2022 yang lepas, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) telah memaklumkan bahawa pihaknya bakal melaksanakan teknologi pengimbasan wajah atau biometric facial recognition kepada penumpangnya.

Ia bertujuan membolehkan penumpang melalui seluruh perjalanan lapangan terbang mereka tanpa perlu menunjukkan pas masuk mereka di semua pintu -- daripada daftar masuk hingga pintu pelepasan.

Baru-baru ini, pihak KLIA menerusi laman Facebook Malaysia Airports telah memaklumkan bahawa mereka kini sedang berada di Fasa Pertama atau projek rintis pelaksanaan teknologi pengenalan wajah tersebut.

Daripada hantaran video yang dimuatnaik di Facebook, ia menunjukkan para penumpang hanya mengambil masa beberapa saat sahaja untuk mendapatkan pengesahan wajah serta melepasi pintu.

Malah pihak KLIA turut memberi jaminan bahawa mereka tidak menyimpan sebarang gambar wajah penumpang dan akan memadam semua data dalam tempoh tiga jam selepas penerbangan berlepas dari KLIA.

Menerusi hantaran lain di Facebook berkenaan, teknologi pengecaman wajah tersebut turut diuji melibatkan penerbangan MH1438 ke Langkawi pada 6-12 April lalu.

Kemungkinan jika ujian rintis ini berjaya dan berjalan dengan lancar, peraturan baharu itu akan dilaksanakan secara menyeluruh tidak lama lagi. Jadi sama-sama kita nantikan!

Sumber: Malaysia Airports

Destination: