KLIA Tersenarai Antara 9 Lapangan Terbang Terbaik Dunia!

TERKINI
February 17, 2022 - 04:26 PM


Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dinobatkan sebagai antara sembilan lapangan terbang terbaik dunia menerusi  tinjauan Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang (ASQ) bagi suku keempat 2021.

Pengiktirafan untuk KLIA oleh Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa (ACI) itu adalah bagi kategori melebihi 40 juta penumpang tahunan (mpaa) dengan skor 5.00.  Tinjauan itu adalah penanda aras lapangan terbang terbaik dunia dari segi kepuasan pelanggan keseluruhan bagi keselamatan terminal, kemudahan, perkhidmatan dan kebersihan.

Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd. (Malaysia Airports), Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata, sejak beberapa bulan lalu, KLIA mula menerima peningkatan penumpang yang ketara. 

Beliau berkata, selaras peningkatan itu, pihaknya perlu memastikan standard perkhidmatan yang disediakan di KLIA dikendalikan dengan baik. 

“Berada pada kedudukan pertama bersama sembilan lapangan terbang utama yang lain adalah satu pengiktirafan buat negara.

“Kami juga bersedia untuk menerima kehadiran pelancong sebaik sahaja sekatan perjalanan dibuka kelak,” katanya menerusi kenyataan hari ini. 

Menurutnya, pembukaan semula inisiatif Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) Malaysia dan Singapura dan penerbangan umrah juga akan merancakkan semula segmen perjalanan antarabangsa. 

Menurut Iskandar, pihaknya berbesar hati menerima kehadiran SKS Airways yang beroperasi di terminal padang terbang pelepasan dan pendaratan singkat (STOLport) Pangkor dan Redang. 

Jelasnya lagi, antara laluan penerbangan baharu yang dibuka termasuk Kuching – Langkawi, Penang – Sibu, Johor Bahru – Bintulu, Kota Kinabalu – Kuala Terengganu. – UTUSAN

Destination: