KTMB Buat Promo CUTIKERETAPI, Dapat RM10 Diskaun Tiket!

TERKINI
March 15, 2021 - 12:48 PM


Bermula April ini, jika korang mempunyai sebarang rancangan untuk Cuti-Cuti Malaysia di dalam negeri sendiri dan ingin menggunakan perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) -- korang bakal menerima potongan diskaun sebanyak RM10 bagi setiap tiket!

Promosi di bawah kempen Cuti-Cuti Malaysia itu akan berlangsung selama tiga bulan dan berakhir pada 30 Jun nanti.

Tawaran diskaun ini adalah kempen kerjasama antara Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya  (MOTAC) bersama Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

"Selaras pelancaran kempen ini, KTMB juga ingin memaklumkan jualan tiket bagi perkhidmatan ETS untuk perjalanan 1 April hingga 30 Sept 2021 akan dibuka mulai esok 15 Mac, dengan sebanyak 24 perkhidmatan ETS disediakan menggunakan jadual waktu sedia ada.

"Jualan tiket ini dibuka bagi membolehkan orang ramai membuat perancangan awal untuk bercuti di dalam negeri tertakluk kepada arahan semasa oleh pihak kerajaan," demikian menurut kenyataan KTMB.

Bagaimanapun diskaun berkenaan hanya boleh dinikmati pengguna yang membuat pembelian tiket melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS) atau laman sesawang KTMB.

Langkah itu bertujuan menggalakkan penggunaan secara dalam talian sesuai dengan norma baharu Perintah Kawalan Pergerakan susulan COVID-19, kata KTMB.

Menurut kenyataan itu, promosi diskaun di bawah kempen berkenaan akan diperluas untuk merangkumi perkhidmatan KTM Antarabandar dalam masa terdekat.

Sumber: Bernama

Destination: