Laluan Darat Malaysia-Singapura Bakal Dibuka Serentak Dengan Pembukaan Sempadan!
TERKINILaluan darat Malaysia ke Singapura melalui Tambak Johor dan Laluan Kedua akan dibuka serentak dengan tarikh pembukaan sempadan negara, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri.
Bagaimanapun, beliau berkata pengumuman mengenai perkara itu akan dilakukan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam masa terdekat.
Laluan sempadan darat sangat sinonim dengan Johor dan Singapura kerana pelancong dari republik itu lebih memilih melalui jalan darat kerana sudah terbiasa selain jarak yang dekat dan mudah.
Sabtu lepas, Perdana Menteri dilaporkan mengesahkan bahawa sempadan negara akan dibuka semula tidak lama lagi dan langkah ini membolehkan ahli Keluarga Malaysia yang sudah lama tidak bersua muka dapat pulang terutama ketika Aidilfitri pada Mei nanti.
Sebelum ini, pelaksanaan Laluan Perjalanan Vaksin (VTL) darat melalui Tambak Johor dan Laluan Kedua dibuka serentak dengan VTL udara antara Lapangan Terbang Changi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 29 Nov tahun lepas.
Perjalanan darat antara Singapura dan Johor Bahru hanya merangkumi pemegang pas jangka panjang bagi mereka yang bekerja di Singapura dan Johor Bahru.