Malaysia Akan Buka Sektor Pelancongan Antarabangsa?
TERKINIMalaysia tidak menolak untuk membuka pintu sempadan negara kepada pelancong asing bagi merancakkan kembali industri pelancongan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagaimanapun menegaskan keputusan mengenainya hanya akan dibuat oleh Kementerian Kesihatan mengikut situasi semasa.
“Kita lihat kesannya, kalau kita masih lagi terlalu keras, kesannya adalah kepada industri pelancongan. Setakat ini industri pelancongan masih lagi belum dibuka sepenuhnya.
"Walaupun dari segi pelancongan tempatan kita telah buka, tetapi pelancong asing masih belum masuk lagi ke negara kita," kata Ismail Sabri.
Jelasnya, sesetengah negara lain juga didapati telahpun mengurangkan SOP yang dikenakan sebelum ini bagi membolehkan pelancong memasuki negara mereka.
“Cuma yang kita masih tutup adalah sempadan negara. Kita terpaksa lakukan ini kerana seperti kita tahu negara luar juga mempunyai kes yang tinggi.
"Sebab itulah kita masih berhati-hati untuk membuka sempadan kita walaupun kita telah memulakan dengan Singapura," kata Ismail Sabri.
Perkara itu, katanya, akan dipertimbangkan dari semasa ke semasa dan tidak menolak akan melakukan perkara yang sama.
Menurutnya lagi, subsidi upah yang diperkenalkan sebelum ini masih disalurkan kepada pemain-pemain industri pelancongan negara ketika ini bagi meringankan beban yang ditanggung mereka.
Sumber: Astro Awani