Malaysia Sedang Bersedia Terima Semula Kemasukan Pelancong Antarabangsa

TERKINI
October 08, 2021 - 12:14 PM


Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sedang membuat persediaan untuk menerima semula ketibaan pelancong luar termasuk dari Asia Barat dalam suasana persekitaran selamat daripada COVID-19.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata MOTAC komited meningkatkan kemudahsampaian para pelancong ke negara ini sebaik pembukaan semula pintu-pintu sempadan antarabangsa.

Pelancong dari Asia Barat mendominasi lima kedudukan tertinggi dari segi perbelanjaan per kapita, selain mencatatkan purata tempoh penginapan yang lebih panjang di negara ini berbanding pelancong dari pasaran lain.

Kenyataan yang dimuat naik dalam Facebook kementerian adalah susulan pertemuan Nancy bersama wakil pengurusan dan agensi jualan 4 syarikat penerbangan antarabangsa di Asia Barat dalam usaha menjalinkan kerjasama bagi mempromosi Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan.

4 syarikat tersebut ialah Qatar Airways, Saudi Arabian Airlines, Air Arabia dan Emirates Airlines.

Sementara itu, antara perkara yang dibincangkan dalam pertemuan tersebut adalah strategi dan perancangan mempromosi Malaysia bagi menarik pelancong antarabangsa dari pasaran lain seperti Eropah, Amerika dan Afrika melalui jaringan rangkaian syarikat penerbangan masing-masing.

Sumber: BERNAMA

Destination: