Malaysia Bakal Miliki Destinasi Pelancongan Bertaraf Dunia 'ESCAPE Cameron Highlands'!

TERKINI
August 03, 2021 - 02:58 PM


Wah, ini ada satu berita menarik bagi korang yang dah lama tak pergi bercuti dan merancang untuk melancong selepas aktiviti rentas negeri dibenarkan nanti.

Jangan lupa untuk bawa keluarga dan rakan-rakan bercuti ke ESCAPE Cameron Highlands, Pahang -- iaitu destinasi pelancongan bertaraf dunia yang baharu di Malaysia!

ESCAPE Cameron Highlands mempunyai pelbagai tarikan istimewa buat pengunjung, malah ia turut menawarkan permainan dan seni bina bertemakan Eropah serta sangat sesuai dengan keadaan cuaca sejuk di lokasi peranginan tanah tinggi popular itu.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata projek unik ini memperkenal jenama bertaraf dunia yang seratus peratus dari Malaysia dan diilhamkan oleh syarikat yang ditubuhkan di negara ini iaitu Sim Leisure Group, yang telah membina beberapa taman terbaik di seluruh dunia.

Bahkan, ESCAPE Cameron Highlands akan menjadi permulaan kepada kebangkitan semula industri pelancongan domestik yang terjejas teruk selepas negara dilanda pandemik COVID-19 sejak tahun lepas.

Terdahulu, beliau menyaksikan majlis menandatangani perjanjian secara maya antara Pengasas Sim Leisure Group dan Taman Tema ESCAPE iaitu Sim Choo Kheng dengan Pengarah merangkap pemegang saham Hektar Muda Sdn Bhd (pemilik tapak) Datuk Jimmy Doh.

Katanya berdasarkan kejayaan yang dicapai oleh taman ESCAPE sedia ada di Pulau Pinang dan Petaling Jaya, Selangor, kementerian itu yakin ESCAPE Cameron Highlands akan terus menerima pujian serta sokongan daripada pelancong.

"Saya dimaklumkan bahawa jenama ESCAPE baru-baru ini telah membuat penampilan sulungnya di peringkat antarabangsa di Sri Lanka dan akan diperluas ke seluruh rantau ASEAN serta China. ESCAPE akan menjadi duta jenama de facto bagi pelancongan Malaysia di luar negara seperti Disney Park bagi USA atau Legoland bagi Denmark.

"Pelancong antarabangsa tentu sahaja ingin melihat tempat kelahiran jenama ESCAPE iaitu Malaysia," katanya.

Nancy berkata pembukaan destinasi seperti Escape Cameron Highlands akan turut menyokong secara langsung inisiatif kementerian itu antaranya pelan pemulihan pelancongan di bawah pakej rangsangan ekonomi yang mempunyai tiga teras utama iaitu :

1) Mengembalikan keyakinan untuk melancong

2) Menyemarakkan pelancongan domestik

3) Memaksimumkan sumber sedia ada

Beliau berkata model perniagaan ESCAPE adalah selaras dengan agenda kerajaan untuk merangsang ekopelancongan Malaysia yang akan berperanan sebagai pemangkin dari segi pelaburan pelancongan baharu sambil menanam minat serta menyuntik semangat baharu terhadap sektor ekopelancongan.

"Saya meramalkan pertumbuhan eksponen dalam permintaan kepada pelancongan berasaskan alam semula jadi di seluruh dunia.

"Malaysia akan lebih menonjol berbanding negara jiran dengan mempromosi pelancongan yang bersih, sihat dan berorientasikan keluarga. Kita akan memanfaatkan keindahan alam semula jadi yang banyak terdapat di sekeliling kita bagi tujuan ini," katanya.

Sumber: Bernama & Kredit Gambar: Facebook Hajah Nancy Haji Shukri

Destination: