Malaysia Cadang Henti Penerbangan Dari India, Angkara 'Super Spreader' Yang Melanda!

TERKINI
April 27, 2021 - 12:31 PM


Selepas empat hari lonjakan kes Covid-19 di India dikhuatiri berpunca daripada varian mutan berganda, Kementerian Kesihatan (KKM) akan mencadangkan kepada kerajaan supaya penerbangan dari negara itu dihad atau dihentikan.

Langkah itu sebagai usaha mengatasi risiko penularan Covid-19 dari negara terbabit.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata ketika ini wujud kebimbangan mengenai varian mutasi Covid-19 dari luar negara, terutama India.

“Kita berkemungkinan besar akan memohon kepada kerajaan untuk mengehad atau menghentikan penerbangan dari India berikutan ada mutasi berganda,” katanya pada sidang media, di Putrajaya hari ini.

Untuk rekod, beberapa negara telah melarang pengembara dari India susulan kebimbangan munculnya varian baharu dengan mutasi membimbangkan iaitu B.1.617 yang menjadi punca penularan wabak dengan paling cepat.

United Kingdom (UK) antara negara yang menguatkuasakan sekatan perjalanan terhadap pengembara dari India.

Pada 23 April lalu, data Kementerian Kesihatan India menunjukkan hampir 315,000 jangkitan baharu dalam 24 jam terakhir iaitu yang paling banyak dicatat oleh mana-mana negara dalam sehari sejak wabak itu bermula.

Hospital di India turut mengeluarkan amaran mengenai kekurangan kemudahan rawatan terutama bekalan oksigen, yang boleh mengakibatkan lebih ramai pesakit maut ekoran kemunculan varian mutan berganda yang merupakan ‘super spreader’ atau penyebar utama.

Sumber: Malaysia Dateline

Destination: