Malaysia Sekat Kemasukan Individu Dari 4 Lagi Negara Termasuk India

TERKINI
May 06, 2021 - 12:32 PM


Jika sebelum ini ianya sekadar satu cadangan daripada pihak Kementerian Kesihatan -- namun kini ianya telah menjadi satu keputusan muktamad!

Ini apabila kesemua warganegara dari 4 negara iaitu Bangladesh, Pakistan, Nepal dan Sri Lanka dilarang daripada memasuki Malaysia selepas kerajaan menyekat penerbangan dari dan ke India ekoran kebimbangan terhadap penularan mutasi baharu Covid-19.

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang turut memberitahu bahawa sekatan tersebut melibatkan semua kategori pemegang pas lawatan sosial jangka panjang, pelawat perniagaan antarabangsa dan lawatan sosial.

Bagaimanapun, pengecualian diberikan kepada pemegang pasport diplomatik dan rasmi seperti yang diperuntukan dalam Konvensyen Vienna Berkenaan Hubungan Diplomatik pada 1961.

Beliau menjelaskan, kategori berkenaan dipertimbangkan untuk memasuki Malaysia dengan menggunakan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.

Pada 27 April lalu, kerajaan melaksanakan sekatan sementara kemasukan pengembara, pelajar antarabangsa warga India dan pelawat perniagaan antarabangsa ke Malaysia bagi mengelak penularan varian baharu Covid-19 dari negara itu.

Sumber: Bernama
 

Destination: