Melaka Bakal Buka Penerbangan Terus Dari Kota Kinabalu & Pulau Pinang?
TERKINIPelancongan Negeri Melaka bakal kembali rancak dengan perkhidmatan penerbangan secara terus dari Kota Kinabalu, Sabah ke Melaka dan Melaka ke Pulau Pinang melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM).
Menurut laporan Bernama, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata cadangan untuk mewujudkan penerbangan tersebut telah dikemukakan kepada Firefly, syarikat penerbangan tambang rendah Malaysia Airlines Bhd menerusi pertemuan bersama Pengurus LTAM Mohamad Nazri Mat Khalib dan Ketua Bahagian Jualan Firefly Muizzuddin Mahmud di Seri Negeri.
"Pertemuan ini cukup penting dalam usaha kerajaan negeri menarik penyertaan syarikat penerbangan Firefly untuk meluaskan penerbangannya ke Melaka. Antara destinasi yang dibincangkan ialah cadangan penerbangan Kota Kinabalu-Melaka dan Melaka-Pulau Pinang.
"Melalui pertemuan ini, saya percaya akan disusuli lebih banyak perbincangan menyeluruh, sekali gus diharapkan dapat merancakkan lagi sektor penerbangan di LTAM dan pelancongan negeri Melaka secara keseluruhannya," katanya menerusi catatan yang dimuat naik di laman sosial Facebook.
Sebelum ini, media melaporkan operasi LTAM di Batu Berendam terpaksa ditangguhkan sehingga tahun depan berikutan situasi pandemik COVID-19 dan dijangka kembali beroperasi melibatkan laluan Melaka-Pulau Pinang yang dikendalikan syarikat penerbangan Malindo Air.
Kerajaan negeri turut dilaporkan akan berbincang dengan AirAsia sama ada ingin terus beroperasi di LTAM atau sebaliknya selepas syarikat penerbangan tambang murah itu mengumumkan menarik diri awal tahun ini.
Sumber: BERNAMA