"Mulianya Hati Tokey Mydin Ni" - Mydin 'Halalkan' Kes Pecah Masuk Demi Kelangsungan Hidup

TERKINI
December 21, 2021 - 02:16 PM


Susulan insiden pecah masuk ke premis gedung pasaraya besar, Mydin -- Pengarah Urusan Mydin Holdings Berhad, Datuk Ameer Ali Mydin menghalalkan mereka yang melakukan perkara tersebut demi kelangsungan hidup.

Dalam satu kenyataan pada Selasa, Ameer menjelaskan beliau tidak menyokong perbuatan mencuri, namun dalam keadaan darurat, mungkin mangsa banjir tiada pilihan dan terpaksa melakukan perbuatan tersebut.

"Saya ingin memberi maklum balas mengenai insiden pecah masuk ke premis Mydin Mart yang hangat dibincangkan di media sosial, media tempatan dan sebagainya.

"Sejujurnya saya tidak menyokong perbuatan mencuri, namun dalam keadaan darurat mungkin mereka tiada pilihan dan terpaksa melakukan perbuatan tersebut demi kelangsungan hidup.

"Dengan seikhlas hati, saya menghalalkan mereka yang melakukan perbuatan tersebut dengan niat meneruskan kelangsungan hidup akibat bantuan yang tiba lambat dan bukan dengan niat yang sebaliknya," jelasnya.

Beliau turut menyatakan simpati dengan insiden bencana banjir teruk yang melanda terutama ketika negara masih bergelut dengan pandemik COVID-19.

Cawangan Mydin Mart, Sri Muda, Shah Alam turut musnah akibat banjir pada 18 Disember 2021 dan mengakibatkan kerugian jutaan ringgit.

Beliau turut memohon rakyat Malaysia untuk memanjatkan doa kepada Allah SWT agar mangsa terselamat dan bencana banjir dan pandemik pulih seperti biasa.

Terdahulu, tular di media sosial Mydin "dirompak" oleh mangsa banjir susulan kekurangan bekalan makanan dan sebagainya dan kekangan mendapatkan bantuan asas.

Sumber: Astro Awani

Destination: