[VIDEO] "Ngerinya!" - Penunggang Ducati Maut Jatuh 'Flyover' Elak Motosikal Lawan Arus
TERKINIHari ini (14 Jun) -- netizen digemparkan dengan penularan sebuah video ngeri apabila seorang lelaki maut tercampak dari motosikal berkuasa tinggi yang ditunggangnya sebelum jatuh dari jambatan di Kilometer 22.2 Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (SUKE) susur Hulu Klang di ibu negara pada Rabu.
Rakaman CCTV berdurasi 12 saat itu memaparkan kemalangan berlaku gara-gara mangsa cuba mengelak seorang penunggang motosikal lain yang bertindak menunggang melawan arus.
Dalam kejadian kira-kira 1 tengah hari itu, penunggang motosikal berkuasa tinggi Ducati Panigale iaitu lelaki warga emas berusia 60-an disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah.
Memetik laporan berita, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah motosikal ditunggang melawan arus di bahu jalan kanan.
"Mangsa yang sedang melalui jalan berselekoh kemudian cuba mengelak lalu melanggar penghadang sebelah kiri jalan.
"Kesan pelanggaran itu menyebabkan penunggang terhumban dan jatuh ke bawah pada ketinggian kira-kira 30 meter manakala motosikalnya terseret ke tengah jalan," katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Azam berkata, mangsa mengalami kecederaan parah di kaki ditemui dalam keadaan tertiarap di belakang pagar Stesen Kawalan SMART Sungai Klang dan disahkan meninggal dunia.
Tambahnya, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian penunggang motosikal yang memandu secara melulu dan menyebabkan kematian.
Oleh itu, kini polis sedang mengesan penunggang motosikal yang dipercayai melarikan diri selepas kemalangan.
"Penunggang terbabit didapati meninggalkan lokasi dan tindakan mengesannya sedang dijalankan.
"Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sedang diteliti bersama pihak SUKE dan saksi bebas sedang dikesan bagi membantu siasatan," katanya.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau meminta saksi bebas supaya tampil menyalurkan maklumat dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik IPD Ampang Jaya Inspektor Muhamad Yusaiful Muhamat Basir di talian 011-13078348.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan, penunggang 'superbike' jenis Ducati maut akibat terjatuh dari jejambat SUKE berhampiran Ulu Kelang.