Nahas 2 Maut — Pemandu Triton Lawan Arus Positif Ganja

TERKINI
September 13, 2021 - 04:41 PM


Makin lama makin banyak kes bawa kereta lawan arus, yang tak bersalah juga yang terkorban...

Pemandu kenderaan pacuan empat roda yang melawan arus sehingga menyebabkan dua maut di Kilometer 8.5 dan 8.6 Lebuhraya Persekutuan dari arah Klang ke Kuala Lumpur awal pagi tadi, disahkan positif dadah.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib, berkata hasil saringan awal urin ke atas lelaki berusia 24 tahun itu mendapati suspek positif ganja.

"Suspek dibawa polis dari tempat kejadian ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam untuk tindakan lanjut, kemudian dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman. Mahkamah Majistret Shah Alam membenarkan reman enam hari bermula hari ini hingga 17 September," kata Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib.

Siasatan awal mendapati Mitsubishi Triton yang dipandu suspek secara melawan arus itu datang dari arah Kuala Lumpur ke Klang sebelum bertembung Proton Wira dari laluan bertentangan.

"Dua mangsa yang maut ialah wanita berumur 18 tahun yang memandu kereta dan penumpang lelaki berumur 19 tahun. Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Shah Alam untuk bedah siasat.

"Setakat ini, kemungkinan mangsa adalah rakan kerana waris juga tidak dapat beri pengesahan. Kedua-dua mangsa dari arah Klang dan polis tidak pasti ke mana tujuan mereka," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian.

Terdahulu, Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis dipetik berkata, pihaknya dihubungi pada jam 1.51 pagi dan tiba di lokasi kejadian pada jam 1.58 pagi.

Katanya, mangsa kemalangan didapati tersepit dan pihaknya mengambil masa kira-kira setengah jam bagi mengeluarkan mereka.