Nak Bina Kereta Kabel Dari Tapah Ke Ringlet, Cameron Highlands? Seriuslah!

TERKINI
October 29, 2021 - 01:51 PM


Seperti yang kita tahu, tanah tinggi peranginan popular di Pahang iaitu Cameron Highlands sering menjadi pilihan untuk sebuah percutian keluarga tidak kiralah sama ada pada cuti hujung minggu atau musim cuti sekolah.

Setiap kali itu jugalah ia merupakan waktu puncak di mana bakal berlakunya kesesakan trafik yang luar biasa memandangkan jalan untuk naik ke Cameron adalah sempit, bersimpang siur serta bergeografi mendaki.

Bagi mengurangkan masalah kesesakan trafik itu, ada cadangan untuk membina kereta kabel antara Tapah ke Ringlet, Cameron Highlands yang dilaporkan sudah dimasukkan ke dalam Draf Rancangan Tempatan Daerah Batang Padang 2035 (Penggantian).

Yang Dipertua Majlis Daerah Tapah, Muhamad Sahlan Husnin berkata, limpahan sektor pelancongan di tanah tinggi itu boleh memberi impak besar kepada pembangunan di daerah Batang Padang.

Menurutnya, pembinaan itu bagaimanapun bergantung kepada pandangan awam yang akan diterima nanti.

"Dalam draf ini, kita ada membuat cadangan untuk membina kereta kabel dari Tapah ke Ringlet kerana kita melihat sektor pelancongan kawasan itu boleh memberi impak di daerah ini.

"Dengan kehadiran pelancong untuk ke kawasan itu melalui Tapah, kaedah ini dilihat boleh mengurangkan kesesakan jalan raya. Bagaimanapun, ia masih di peringkat perancangan dalam draf rancangan tempatan tersebut," katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Daerah Batang Padang 2035 (Penggantian) di Dewan Merdeka, Tapah, Perak pada Khamis (28 Oktober 2021).

P/S: Apa pendapat anda mengenai cadangan pembinaan kereta kabel itu? Min yakin mesti ada bantahan daripada aktivitis alam sekitar nanti...jadi kita tunggu je hasilnya sama-sama k! Huhuhu...

Sumber: Sinar Harian

Destination: