Tasik Cermin Pun 'Banjir', Notis Penutupan Sementara Kepada Pengunjung!

TERKINI
March 14, 2022 - 07:09 PM


Notis penutupan sementara kawasan tumpuan pengunjung, Tasik Cermin di Gunung Rapat di Ipoh, Perak akan dikeluarkan sekiranya paras air di tasik itu meningkat susulan hujan lebat kebelakangan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) juga perlu mengawasi operator yang dilantik, bagi memastikan keselamatan pengunjung terjamin.

"Saya akan mengesyorkan kepada MBI agar operator mengeluarkan notis tidak selamat untuk dilawati.

"Kalau keadaan tidak selamat seperti adanya bencana sudah tentulah akan dikeluarkan notis penutupan sementara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas isu paras air meningkat di Tasik Cermin sehingga menenggelamkan lantai pelantar.

Dalam pada itu, beliau berkata aspek pemantauan dan pengawasan antara kriteria utama yang dititikberatkan bagi sesebuah kawasan pelancongan.

"Kita sudah melantik satu badan pengurusan daripada pihak operator yang akan bertanggungjawab dalam segala aspek termasuk keselamatan.

"Jadi, aspek keselamatan antara perkara yang diteliti apabila kita membuka produk baharu pelancongan," katanya lagi.

Sementara itu, Pengarah Pembangunan Pelancongan Tasik Cermin Eco Park Ipoh, Siti Norlizawati Narawi ketika dihubungi berkata, kawasan pelantar itu sudah dinaiki air sejak Khamis lalu.

"Kami tutup kepada pengunjung pada hari Khamis, bagaimanapun dibuka semula pada Jumaat susulan air yang sudah surut.

"Kawasan ini akan ditutup sekiranya hujan lebat dan paras air meningkat semula dan berbahaya untuk dikunjungi," katanya.

Sumber: Astro Awani

Destination: