Elak Insiden Tasik Cermin Berulang, Pihak Berkuasa Bakal Ketatkan Kawalan!

TERKINI
December 17, 2021 - 02:43 PM


Kawalan di kawasan tumpuan pengunjung Tasik Cermin akan diperketatkan bagi mengelak insiden yang tular di media sosial di kawasan berkenaan berulang.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata pihaknya akan mengambil tindakan berhubung isu lelaki yang terjun di tasik tersebut.

"Kita mengambil dan sedang membuat semakan untuk tindakan berhubung perkara itu.

"Bagaimanapun pada ketika ini kita masih belum mendapat maklumat yang tepat siapa yang melakukan perkara berkenaan.

"Pada waktu yang sama kita akan memperketatkan lagi kawalan dan juga tindakan untuk memastikan perkara seperti itu tidak berlaku," jelasnya.

Beliau berkata, tindakan tidak bertanggungjawab itu adalah dilarang demi keselamatan pengunjung.

"Semestinya impak daripada isu berkenaan sama ada lagi ramai orang pergi nak tengok (Tasik Cermin) atau kita terpaksa tutup tempat itu.

"Justeru, kita minta pengunjung lebih bertanggungjawab apabila melawat kawasan yang dikira sebagai kawasan pelancongan," katanya.

Baru- baru ini, media melaporkan Tasik Cermin di sini ditutup susulan tular video menunjukkan seorang lelaki terjun ke dalam tasik berkenaan.

Artikel Sebelum Ini: Tasik Cermin Ditutup Gara-Gara Lelaki Ini Terjun Ke Dalam Tasik?
Artikel Berkaitan: Lelaki Arab Disyaki Terjun Di Tasik Cermin, Bukan Warga Tempatan

Destination: