Nak Masuk Labuan, Kena Jalani Pemeriksaan Kesihatan Dulu Di Terminal Feri & Airport

TERKINI
June 19, 2020 - 12:05 PM


Susulan terdapat empat kes dari Sabah yang dikesan di Terminal Feri Antarabangsa Labuan, baru-baru ini --semua pelawat dari dalam negara yang memasuki Labuan perlu terlebih dahulu menjalani pemeriksaan COVID-19 di terminal feri berkenaan atau Lapangan Terbang Labuan.

Bagi yang tiba untuk urusan perniagaan yang memerlukan mereka berada di Labuan untuk beberapa hari sahaja, mereka perlu menjalani ujian pantas untuk keputusan segera dan mungkin tidak perlu menjalani kuarantin, kecuali sekiranya mereka menunjukkan tanda-tanda jangkitan atau tiba dari kawasan zon merah COVID-19.

Pelawat juga tidak perlu bimbang sekiranya diberikan ‘Annex 14’ semasa ketibaan, yang memerlukan mereka dikuarantin selama 14 hari, kerana perintah kuarantin hanya akan dikeluarkan terhadap mereka yang mempunyai simptom dan mereka yang tiba dari kawasan berisiko tinggi sahaja.

Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan, Dr Ismuni Bohari berkata pemeiksaan COVID-19 di lapangan terbang dan terminal feri amat penting.

“Kita hanya mahu pastikan komuniti perniagaan dan penduduk tempatan di sini menjalani kehidupan seharian dengan selamat, tanpa rasa bimbang kemungkinan penularan jangkitan dari ‘orang luar’ yang datang ke sini.

“Jabatan kami tidak pernah menyekat kehadiran pelawat ke Labuan menerusi terminal feri atau lapangan terbang… cuma mereka perlu menjalani pemeriksaan biasa di dua ‘pintu masuk’ ke pulau ini.

“Kita tidak boleh benarkan pelawat dengan risiko COVID-19 terdedah, berurusan dengan penduduk tempatan, dan mewujudkan kluster baharu, sebab itu pemeriksaan diperlukan, diharapkan pelawat faham,” katanya.

Sumber: Bernama

Baca juga: Aktiviti & Tempat Menarik Wajib Korang Cuba Jika Ke Labuan!

Artikel menarik lain: Itinerari 4 Hari 3 Malam Bercuti Ke Labuan

Artikel menarik terdahulu: 10 Port Instagrammable Di 'Permata Borneo', Labuan!

 

Destination: