Nak Melancong Ke Thailand Nanti Guna "Thailand Pass" Je, Permudah Proses Dokumentasi Pelancong

TERKINI
October 15, 2021 - 02:34 PM


Thailand akan menggantikan 'Certificate of Entry' (CoE) dengan 'Thailand Pass' untuk memendekkan proses dokumentasi perjalanan bagi pelawat yang memasuki negara ini selepas pembukaan semula sempadan pada 1 November ini.

Bagi mempermudah proses perjalanan, jurucakap Kementerian Luar Thailand, Tanee Sangrat berkata, 'Thailand Pass' iaitu sistem berasaskan web-based untuk pelancong yang memasuki negara ini, mereka hanya perlu mengisi maklumat masing-masing dan memuat naik dokumen berkaitan sebelum melakukan perjalanan.

Ketika ini, pengembara perlu mendapatkan CoE, surat yang dikeluarkan Kedutaan Thailand atau Konsulat untuk membenarkan pemegang visa asing masuk ke negara ini.

Sejak April 2020, katanya, Kementerian Luar telah mengeluarkan lebih 400,000 CoE kepada warga Thailand dan pelancong asing.

Bagaimanapun, CoE masih akan digunakan untuk beberapa kumpulan pelancong seperti pesakit yang perlu tinggal di Kuarantin Hospital Alternatif yang perlu mendapat persetujuan terlebih dahulu untuk persiapan, pelancong yang melintasi sempadan darat dan mereka yang melakukan perjalanan secara berkumpulan atau dengan kapal layar dan kapal pesiaran.

Pada Isnin, Perdana Menteri, Prayuth Chan o-cha mengumumkan Thailand akan menghentikan syarat kuarantin kepada pelawat lengkap vaksin Covid-19 yang tiba dengan perkhidmatan udara dari negara-negara berisiko rendah termasuk United Kingdom, Singapura, Jerman, China dan Amerika Syarikat mulai 1 November.

Namun, mesyuarat Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) yang dipengerusikan Prayuth belum memuktamadkan lagi senarai nama negara berisiko rendah.

Sementara itu, Prayuth mengulangi bahawa Thailand bersedia untuk menyambut pelancong yang lengkap vaksin Covid-19 dalam tempoh dua minggu lagi, memandangkan semua kementerian serta agensi berkaitan telah bekerjasama untuk memastikan kejayaan pembukaan semula sempadan negara.

Sumber: Sinar Harian

Destination: