Tak Perlu PCR Untuk Masuk Thailand, Cukup Ujian Antigen Kendiri Mulai Mei?
TERKINIKementerian Pelancongan dan Sukan Thailand akan mencadangkan kepada pasukan petugas COVID-19 kerajaan untuk membatalkan ujian RT-PCR mandatori bagi ketibaan antarabangsa dan menggantikannya dengan ujian antigen (ATK) yang dilakukan sendiri mulai Mei.
Dalam usaha merancakkan semula industri pelancongannya, Menteri Pelancongan dan Sukan Phiphat Ratchakitprakarn berkata pengembara yang lengkap divaksin tidak perlu menginap di hotel yang ditempah awal dan menjalani ujian RT-PCR mandatori semasa ketibaan.
"Kami jangka langkah itu akan dilulus dan dilaksanakan mulai 1 Mei, dengan syarat tiada lonjakan jangkitan baharu COVID-19 dan kematian semasa dan selepas perayaan Songkran (13 hingga 15 April)," katanya dipetik The Nation.
Setakat ini, pengembara antarabangsa yang memasuki negara itu perlu memohon dalam talian untuk mendapatkan "Pas Kebenaran Thailand " sekurang-kurangnya tujuh hari sebelum perjalanan.
Mulai 1 April, pengembara antarabangsa yang lengkap divaksin tidak perlu menjalani ujian COVID-19 yang dibuat 72 jam sebelum berlepas ke Thailand.
"Langkah itu akan memulihkan perjalanan biasa ke Thailand "seperti pada 2019" sebelum sekatan perjalanan COVID-19 global," katanya.
Pada 2019, Thailand mencatatkan hampir 40 juta pengunjung termasuk 4.1 juta pengunjung dari Malaysia. Jumlah ketibaan pelancong menurun kepada 6.7 juta pada 2020.
Majlis Pembangunan Ekonomi dan Sosial Negara pada Isnin mengunjurkan 5.5 juta pelancong tahun ini.
Thailand merekodkan 21,678 kes baharu COVID-19 dan 78 kematian pada Selasa, menjadikan jumlah jangkitan di negara itu kepada 1,351,963 dan 24,958 kematian, setakat ini.
Sumber: BERNAMA