Tak Perlu Lagi Buat Ujian PCR Nak Masuk Thailand Mulai Mei

TERKINI
April 11, 2022 - 11:19 AM


Ini ada berita gembira kepada mereka yang bercadang untuk bercuti ke Thailand selepas Hari Raya nanti!

Bermula Mei depan, Thailand bercadang membatalkan ujian saringan RT-PCR yang diwajibkan ke atas ketibaan antarabangsa sebagai usaha negara jiran tersebut untuk memulihkan industri pelancongannya.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), Dr Taweesin Visanuyothin berkata, di bawah cadangan itu, pengembara yang telah menerima vaksin Covid-19 tidak lagi perlu menjalani saringan RT-PCT dan menempah hotel yang ditetapkan pihak berkuasa.

Bagaimanapun katanya, pelancong perlu melakukan ujian antigen kendiri di lapangan terbang.

Beliau berkata, CCSA "pada dasarnya bersetuju" dengan langkah itu namun bergantung kepada kelulusan.

"CCSA akan menyemak cadangan kelonggaran selepas cuti Songkran minggu depan," katanya.

Pada masa ini, di bawah program 'Test & Go' tanpa kuarantin, pengembara perlu menempah hotel yang ditetapkan lebih awal, serta melakukan saringan RT-PCR pada hari pertama ketibaan dan ujian ATK pada hari kelima.

Taweesin berkata, CCSA turut bersetuju dengan cadangan untuk mengurangkan perlindungan insurans kesihatan serta mengurangkan jumlah dokumen yang diperlukan semasa mendaftar untuk Pas Thailand.

Sementara itu, Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha berkata mulai Mei juga kerajaan akan melonggarkan lagi sekatan perjalanan bagi ketibaan pelancong yang menggunakan laluan darat dan udara.

Sumber: Bernama
 

Destination: