'Night Market' Jonker Walk Bakal Dibuka Setiap Malam?

TERKINI
May 12, 2022 - 06:10 PM


Jika sebelum ini Pasar Malam Jonker Walk yang beroperasi pada hujung minggu sering menjadi tumpuan kehadiran pelancong ketika mereka bercuti ke Melaka.

Kini pasar malam tersebut bakal dipanjangkan operasinya kepada setiap hari bagi menarik lebih ramai pelancong ke Bandar Bersejarah tersebut.

Cadangan untuk mengadakan setiap hari berbanding hanya pada Jumaat, Sabtu dan Ahad, turut mendapat persetujuan dan sokongan daripada peniaga setempat.

Bagaimanapun perkara itu masih lagi di peringkat perbincangan bersama pihak berkaitan termasuk Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Bahagian Promosi Pelancongan (BPP).

“Kita dapati sudah sampai masanya kawasan konservasi di sini hidup semula pada waktu malam kerana kita dapati Jonker Walk dari Isnin hingga Khamis pada waktu malam senyap dan tiada aktiviti.

“Jawatankuasa kini sedang usaha serta dalam peringkat perbincangan dan harap akan mendapat berita baik,” kata Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Jonker Street, Datuk Gan Tian Loo.

Katanya, peniaga di Jonker Street yang sebelum ini hanya beroperasi pada waktu siang mengharapkan operasi pasar berkenaan dapat dilanjutkan tempoh sehingga ke malam.

“Apabila kebenaran itu diberikan nanti ia akan merancakkan lagi kedatangan pelancong. Malah sebelum ini pelancong yang datang ke Melaka pada hari biasa tidak berpeluang ke pasar malam Jonker Walk,” katanya.

Sementara itu, mengulas lanjut beliau berkata, sejak peralihan ke fasa endemik bulan lalu, kedatangan pelancong ke kawasan ikonik pelancongan itu amat memberangsangkan.

“Malah untuk minggu pertama Mei dan bersempena cuti umum serta hari raya seramai 500,000 pengunjung berkunjung ke Jonker Walk.

“Selain itu juga kini, hampir 95 peratus premis perniagaan di sekitar Jonker Walk kembali beroperasi dengan kira-kira 20 peratus daripada pengusaha luar Melaka,” katanya.

Sumber: Melaka Hari Ini

Destination: