Pelajar B40 Masih Belum Dapat Komputer Riba Tapi Peruntukan Ubah Suai Seri Perdana Diluluskan Serta Merta
TERKINIKerajaan hari ini dengan kabinet yang cukup besar dipersoalkan di Parlimen apabila peruntukan 30 juta untuk ubah suai Seri Perdana diluluskan, namun isu pelajar B40 masih belum selesai.
Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching hari ini meluahkan rasa kecewa dan marah beliau di Dewan Rakyat susulan kegagalan kerajaan menyerahkan sejumlah besar komputer riba kepada pelajar-pelajar dalam kategori B40.
Menyuarakan perkara itu ketika perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), beliau mengakui tidak tahu cara untuk mendapatkan penjelasan berkenaan isu itu ekoran beberapa kementerian saling mengelak untuk menjawab.
"Sewaktu penggulungan Titah Diraja, Timbalan Menteri Kewangan cakap, sila tanya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Apabila tanya KPM, KPM cakap peranti digital itu belum diterima daripada Yayasan Hasanah."
"Kami tidak ada wakil Yayasan Hasanah di sini (Dewan Rakyat). Tak akan satu Kabinet yang paling besar ini tak ada seorang pun yang boleh menjawab dalam Dewan ini siapa yang perlu dipertanggungjawabkan terhadap kelewatan yang melampau ini?"
"Saya rasa pandai sangat Kabinet ini untuk 'tendang bola'. KPM 'tendang' kepada Yayasan Hasanah, saya rasa jemaah menteri ini kalau bentuk satu pasukan boleh jadi juara dunia...saya rasa ini terlalu melampau," luahnya.
Mengulas lanjut, Nie Ching berkata, sejak bulan November tahun lalu beliau telah menegaskan bahawa 150,000 komputer riba untuk pelajar B40 adalah tidak mencukupi memandangkan kajian KPM sendiri menunjukkan bahawa 37 peratus bersamaan 1.7 juta murid-murid tidak ada peranti yang sesuai.
"Apabila nak ubah suai kediaman rasmi Perdana Menteri, RM35 juta tak ada masalah. Luluskan serta merta."
"Apabila kita nak hantar komputer riba kepada anak-anak. Kita tunggu dan tunggu dan sampai hari ini kita masih tunggu. Tak malu ke menteri-menteri duduk di sana? Langsung tak ada malu," katanya.