"Lepas Ni Tanam Musang King Pulak!" - Pemilik Flat Buat Extension Rumah Kena Sindir Dengan Netizen

TERKINI
July 10, 2023 - 05:39 PM


Kediaman sebagai tempat keluarga tinggal dan berlindung pastinya memerlukan suasana yang selesa dan sedap mata memandang.

Bagaimanapun, dalam keterujaan seseorang untuk mengubah suai rumah demi memenuhi cita rasa sendiri, biarlah ia dilakukan berpada-pada dan tidak melanggar peraturan selain supaya tidak mengganggu penduduk setempat.

Begitulah apa yang dapat dilihat melalui satu foto tular di Twitter memaparkan sebuah unit flat aras bawah yang ditransformasikan seolah-olah meniadi sebuah rumah teres.

Dalam gambar itu, unit flat tersebut mempunyai sebuah beranda tempat letak kereta yang dibina di atas tanah hak milik majlis perbandaran.

Di belakang beranda itu juga kelihatan ada binaan tambahan yang bersambung dengan unit asal berkemungkinan menempatkan ruang tamu rumah berkenaan.

Lebih menimbulkan kemarahan ramai apabila tanah di sekeliling unit flat itu dianggap sebagai halaman persendirian oleh tuan rumah apabila dia menanam pelbagai pokok hiasan dan juga meletakkan ampaian bajunya.

Tindakannya itu ternyata tidak adil untuk penduduk lain di flat berkenaan selain melanggar piawaian yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Menjengah ke ruangan ciapan balas, rata-rata warga maya menyelar secara sinis tindakan pemilik unit itu yang mementingkan diri.

"Alhamdulillah. 'Rezeki' abang ni dapat rumah bawah corner lot. Lepas ni tanah tepi tu boleh cuba tanam pokok durian Musang King pula. Kalau ada rezeki dapat la geran nanti tu.

"Cukup hari bulan dia buat pagar kiri kanan, kemudian ada pagar automatik untuk kereta masuk pula. Alahai mindset komuniti rumah bertingkat kelas ketiga.

"Sebenarnya rumah lain yang dekat atas tu semua tumpang rumah dia. Dia adalah tuan tanah. Dia adalah penyewa. Dia adalah warden asrama. Fuh gila kaya rumah empat tingkat? Rumah macam ni siap ada lif la kan biasanya.

"Bestnya beli hartanah harga rumah flat tapi pakej dapat rumah teres landed, maka abang tu pun akan berkata-kata 'nak hidup kena bijak dan pandai cari peluang'" kata sebahagian warga maya.

Warga maya lain pula mempersoalkan adakah pemilik rumah itu tidak rasa bersalah mengambil hak orang lain.

"Hidup selesa sebab rampas hak orang lain, berkat ke hidup agaknya?

"Rumah dah habis bayar, lepas ni boleh la upgrade pula kereta tu. Nanti bila dah boleh bawa keluar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), tambah swimming pool satu ya, besar lagi tanah tu," kata warga maya.

Sumber: Mstar

Destination: