Pengembara Lengkap Vaksin, Pernah Dijangkiti COVID-19 Tak Perlu Kuarantin Jika Tiba Di Malaysia

TERKINI
January 13, 2022 - 03:29 PM


Pengembara yang lengkap vaksinasi tetapi pernah dijangkiti COVID-19 dalam tempoh 11 hingga 60 hari sebelum berlepas tidak diwajibkan menjalani kuarantin apabila tiba di Malaysia mulai hari ini (13 Januari 2022).

Bagaimanapun, bagi pengembara yang lengkap vaksin tetapi tidak mempunyai sejarah jangkitan COVID-19, ketetapan semasa masih terpakai.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, pendekatan itu diambil berdasarkan data dan bukti saintifik serta pengalaman negara lain mengawal sempadan.

Menurut Khairy, syarat-syarat yang ditetapkan adalah :-

1) Bukti penerimaan vaksin lengkap

2) Bukti telah dijangkiti COVID-19 dalam tempoh 11 hingga 60 hari sebelum berlepas ke Malaysia

3) Keputusan negatif ujian saringan RTK-Antigen dalam tempoh dua hari sebelum berlepas.

Sementara bagi pengembara yang menerima rawatan di hospital pula, mereka perlu mengemukakan surat kebenaran perjalanan (fit to travel) daripada pengamal perubatan hospital berkenaan.

“Bagi pengembara yang menjalani isolasi atau pengasingan di tempat kediaman termasuk hotel kerana dijangkiti COVID-19 dan tidak dimasukkan ke hospital, mereka perlu menjalani ujian saringan RTK antigen (Ag) profesional dalam tempoh dua hari sebelum berlepas ke Malaysia.

“Hanya individu dengan keputusan negatif sahaja dibenarkan meneruskan perjalanan,” kata Khairy.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, bagi pengembara dengan sejarah jangkitan namun belum menerima vaksin mereka perlu menjalani kuarantin tujuh hari di stesen kuarantin.

Ketetapan baharu ini yang berkuat kuasa mulai 13 Januari juga terpakai bagi pengembara dari negara-negara berisiko tinggi seperti United Kingdom dan Arab Saudi.

“Kerajaan akan memaklumkan sebarang perkembangan mengenai situasi dan ketetapan baharu bagi pengembara dari semasa ke semasa,” jelas Khairy lagi.

Sumber: Astro Awani

Destination: