Perasan Tak Menteri & Timbalan Menteri Pelancongan Baru Dari Bumi Borneo? Harap Gabungan 'Meletop' Ni Bakal Bikin Gempak Industri Tourism Malaysia!
TERKINISemalam (9 Mac 2020), Perdana Menteri baharu, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan secara rasmi barisan Menteri Kabinet beliau dan seperti kita sedia maklum Datuk Seri Nancy Shukri telah diberi tanggungjawab menggalas portfolio yang boleh dikatakan agak kritikal serta paling terkesan ketika ini akibat isu penularan wabak COVID-19.
Selain Menteri Kesihatan -- Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan juga antara tugas paling mencabar ketika dunia ‘diserang’ dengan wabak berbahaya dan ditambah pula secara kebetulan ia berlaku ketika negara baru nak ‘panaskan enjin’ melaksanakan kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 yang telah lama dirancang.
Dengan pengalaman luas memegang jawatan politik sebagai Ahli Parlimen Batang Sadong sejak tahun 2008 dan telah dua kali menerajui kementerian sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri – Datuk Seri Nancy Shukri komited dan yakin mampu mengatasi segala masalah serta cabaran yang sedang dialami para pemain industri pelancongan ketika ini.
Memetik laporan Berita Harian, berikut antara kenyataan awal pemimpin wanita berusia 59 tahun ini selepas diumumkan bakal mengemudi Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan.
“Saya sedar ramai pemain industri, terutama sektor pelancongan dan industri penerbangan, menghadapi masalah dalam keadaan serta situasi sukar ini.
“Sebagai menteri, saya komited untuk menghasilkan penyelesaian yang berkesan dan langkah ekonomi jangka panjang untuk mengurus sektor berkenaan dengan lebih baik.
“Saya juga percaya, ekonomi negara cukup berdaya tahan untuk menghadapi cabaran ini, ditambah dengan barisan Kabinet baharu ini. Kita akan mengambil kesempatan daripada semua peluang yang ada dalam mengharungi krisis ini,” katanya.
Bukanlah hendak membanding-bandingkan prestasi atau bersifat feminisme, namun jika diimbas rekod sejarah sekiranya portfolio Menteri Pelancongan dipegang oleh seorang pemimpin wanita kemeriahan promosi industri pelancongan negara ternyata lebih rancak -- seperti sebelum ini Dato’ Seri Ng Yen Yen yang popular dengan penganjuran ‘Citrawarna Malaysia’ dan Dato’ Seri Azalina Othman Said yang sinonim dengan projek ‘Zoom Malaysia’!
Semoga dengan pelantikan Datuk Seri Nancy Shukri ini bakal membawa industri pelancongan negara ke satu dimensi baharu memandangkan beliau pun berasal dari bumi Borneo yang sememangnya terkenal dengan destinasi pelancongan menarik dunia.
Lebih menarik, apabila beliau digandingkan dengan Timbalannya, Datuk Dr Jeffrey G Kitingan yang juga merupakan Presiden Parti Solidariti Tanahairku Sabah.
P/S: Mungkin akan berlaku sesuatu yang luar biasa bila Menteri & Timbalan Menteri Pelancongan berasal dari Sabah Sarawak bergabung meletop! Sama-sama kita nantikan! Hehehe....