"Subsidi RM300 Tiket Flight" - Pelajar IPTA Semenanjung, Sabah, Sarawak, Labuan Dapat 'Hadiah' Mulai 15 Ogos

TERKINI
July 12, 2023 - 05:43 PM


Kerajaan bersetuju memberikan subsidi RM300 bagi tiket penerbangan pelajar universiti awam untuk laluan domestik Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan mulai 15 Ogos.

Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook -- inisiatif itu bakal memanfaatkan 56,000 pelajar universiti awam dengan implikasi kos sebanyak RM16.8 juta.

"Pagi tadi, Jemaah Menteri telah bersetuju supaya kerajaan melaksanakan inisiatif bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan pelajar IPTA bagi laluan domestik Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan.

"Kementerian Pengangkutan telah mengadakan beberapa siri perbincangan dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), dan syarikat penerbangan bagi memperincikan pelaksanaan inisiatif ini.

"Inisiatif ini akan diberikan melalui kaedah kredit di mana syarikat penerbangan akan mengeluarkan baucar digital bernilai RM300 kepada pelajar yang layak untuk ditebus bagi maksud pembelian tiket penerbangan bagi laluan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan," jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Kementerian Pengangkutan di Putrajaya pada Rabu.

Beliau berkata, ia tertakluk kepada terma dan syarat di mana :-

1) Setiap pelajar mesti berasal dari Semenanjung, Sabah, Sarawak atau Labuan dan sedang menuntut di salah sebuah negeri berkenaan.

2) Hanya sah tiket penerbangan sehala, atau dua hala bagi laluan penerbangan kelas ekonomi pada tempat asal dan tempat pelajar sedang menuntut.

3) Hanya boleh digunakan untuk pembelian tiket penerbangan daripada syarikat penerbangan Malaysia Airlines, AirAsia, Batik Air, Firefly dan MYAirlines.

4) Tarikh akhir penebusan baucar untuk penebusan tiket adalah pada 31 Oktober 2023.

5) Namun pembelian tiket penerbangan untuk perjalanan selepas tarikh akhir penebusan baucar adalah dibenarkan.

Sumber: Astro Awani

Destination: