Sabah Buka Pintu Masuk Pengunjung Dari Semenanjung, Sarawak & Labuan

PANAS
June 02, 2020 - 05:00 PM


Kerajaan Sabah hari ini membenarkan semula semua perjalanan masuk dari Semenanjung, Sarawak dan Labuan ke negeri itu -- sama ada melalui jalan darat, udara, mahupun laut.

Ketua Menterinya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata kebenaran masuk itu diberikan kepada semua penjawat awam, pekerja sektor swasta dan warganegara Malaysia termasuk rakyat Sabah yang berada di Semenanjung, Sarawak serta Labuan.

Malah, kerajaan negeri turut bersetuju untuk mengecualikan mereka menjalani kuarantin, dengan syarat telah melakukan ujian COVID-19 di tempat atau negeri masing-masing dalam tempoh tiga hari sebelum masuk ke Sabah, dan disahkan negatif.

“Surat pengesahan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia hendaklah dikemukakan setibanya di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Shafie berkata kerajaan negeri juga mengalu-alukan semua rakyat Malaysia yang datang ke Sabah untuk menginap di hotel-hotel di negeri ini yang telah beroperasi sejak 10 Mei lepas.

Bagi warganagera Malaysia yang bukan rakyat Sabah dan bukan warganegara Malaysia, mereka diwajibkan untuk mengemukakan pas kerja serta pas-pas lain yang masih sah setibanya di negeri ini.

Sumber: Bernama

Destination: 
Artikel berkaitan