Pesawat Elektrik Komersil Pertama Di Dunia Mulakan Perkhidmatan Di Kanada

TERKINI
December 12, 2019 - 03:08 PM


Pesawat komersil berkuasa elektrik pertama di dunia baru-baru ini telah melakukan penerbangan ujian pertama. Penerbangan ujian pertama yang diadakan Selasa lalu ini berlepas di Vancouver, Kanada.

Ujian ini secara tak langsung membuktikan penerbangan komersil berkuasakan elektrik sememangnya boleh dijalankan dan teknologi ini secara tidak langsung dapat mengurangkan kos kepada syarikat penerbangan selain mengurangkan pencemaran.

Jika dibandingkan, penerbangan awam merupakan salah satu daripada sumber yang menyumbang kepada pelepasan karbon dan ia semakin hari semakin bertambah berkadaran dengan jumlah penerbangan yang dilakukan setiap hari.

Penerbangan Mesra Alam Sekitar

Penerbangan yang menggunakan pesawat DHC-2 yang telah diubah suai ini mengambil masa sekitar 15 minit dan menurut Harbour Air, mereka mensasarkan kesemua pesawat komersil mereka akan diubahsuai untuk menggunakan kuasa elektrik.

Selain menjimatkan minyak, penggunaan enjin elektrik ini dikatakan dapat mengurangkan kos penyelengaraan kerana enjin elektrik lebih mudah untuk dijaga.

Walaubagaimanapun, Harbour Air menjangkakan tempoh 2 tahun diperlukan untuk syarikatnya mengubah kesemua 40 buah pesawat milik mereka untuk menggunakan kuasa elektrik.

Setakat ini, pesawat elektrik ini bakal diuji lebih lanjut bagi memastikan ianya benar – benar selamat dan boleh dipercayai selain motor elektrik harus diuji dan diluluskan oleh badan yang berkaitan.