Piramid Mesir Dihiasi Cahaya Pesanan Solidariti COVID-19

TERKINI
April 02, 2020 - 01:45 PM


Sektor pelancongan dan tarikan utamanya iaitu Piramid Giza merupakan ikonik kepada Mesir.

Justeru, Mesir yang tidak terkecuali daripada menjadi antara negara yang mempunyai kes jangkitan COVID-19 tampil dengan cara unik bagi menzahirkan solidariti mereka bagi membendung wabak tersebut.

Sejak Isnin lalu, Piramid Mesir telah dihiasi dengan tulisan dan kata-kata hikmah berwarna-warni bagi menyatakan solidariti negara itu kepada masyarakat dunia yang sedang bertungkus lumus melawan COVID-19.

Menggunakan cahaya perpaduan berwarna hijau dan biru, hiasan dari Piramid itu memaparkan pesanan seperti "Stay home, Stay safe, Thank you to those keeping us safe." dan "Stay Safe All United"

Meskipun akur dengan situasi sektor pelancongan yang lumpuh akibat COVID-19, namun Mesir dilihat terus optimis dalam memastikan kesihatan diutamakan melebihi segala-galanya buat ketika ini.

Setakat ini, Mesir telah mencatatkan 656 kes jangkitan koronavirus dengan 41 kematian direkodkan.

Sebelum ini, kerajaan Mesir juga telah mengambil inisiatif melakukan pembersihan nyahcemar atau disinfeksi di kawasan tarikan pelancongan terkenalnya seperti di Piramid dan muzium seluruh negara. 

 

 

Destination: