Premis Makan & Kedai Serbaneka Di KL Dibenar Beroperasi Hingga 2 Pagi Mulai 15 Sept
TERKINIBaru-baru ini, Kerajaan telah mengumumkan untuk membenarkan semua premis makanan dan kedai serbaneka seluruh negara beroperasi hingga pukul 2.00 pagi, berbanding 12 tengah malam yang ditetapkan sebelum ini.
Bagaimanapun, pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada mulanya mengambil keputusan untuk tidak mahu menuruti keputusan terbaharu itu dan berpendirian untuk tetap membenarkan operasi hanya sehingga pukul 12 tengah malam.
Namun terbaharu, semalam (13 Sept) -- Kementerian Wilayah Persekutuan menerusi Menterinya, Tan Sri Annuar Musa memaklumkan bahawa pihak DBKL telah bersetuju untuk memberi kerjasama selari dengan keputusan Kerajaan bagi membenarkan premis-premis makanan dan kedai serbaneka di seluruh Kuala Lumpur dibuka hingga pukul 2 pagi mulai esok (15 Sept).
“Saya berbincang dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham A Dahlan sebentar tadi kerana MKN sudah memberi kelonggaran itu.
“... peniaga telah kerugian banyak, kalau dia (perniagaan) tidak mengancam keselamatan sebagaimana yang dinilai oleh MKN, saya bersetuju supaya pihak DBKL membenarkan, buka sampai pukul 2.00 pagi. Tetapi SOP mesti dipatuhi sepenuhnya,” katanya.
Sumber: Bernama