Satu Malaysia Kena Tipu, Kononnya 14 Ahli Keluarga Meninggal Akibat Covid, Lelaki Raih RM91 Ribu Sumbangan

TERKINI
September 06, 2021 - 06:00 PM


Sanggup menipu kononnya 14 ahli keluarga meninggal akibat Covid19, akhirnya raih sumbangan simpati sebanyak RM91 ribu!

Tular di media sosial tentang seorang kakitangan kontraktor Petronas Pengerang yang tampil dengan kisah cukup sedih tentang kehilangan 14 orang ahli keluarganya termasuk isteri, anak-anak, ibu dan kakaknya yang maut akibat Covid19 yang telah meraih banyak simpati orang ramai. 

Selepas tularnya kisah sedih tersebut maka ramai rakyat Malaysia yang prihatin mula memberikan sumbangan bagi meringan beban lelaki tersebut. Namun, selepas RM91,000 telah disumbangkan, 'kantoi' rupanya kesemuanya adalah penipuan, semata-mata untuk meraih sumbangan orang ramai. 

Semalam, kontraktor Petronas Pengerang tersebut ditahan selepas disyaki menyebarkan berita palsu kematian 14 ahli keluarganya akibat Covid-19 berjaya meraih sumbangan sebanyak RM91,000.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi menahan suspek berusia 45 tahun itu, semalam selepas lelaki itu hadir sendiri ke Balai Polis Bayu Damai.

Suspek ditahan ketika hadir sendiri di Balai Polis Bayu Damai dipercayai ingin membuat laporan ‘covering’ bagi diri suspek tentang kejadian itu. Siasatan mendapati suspek setakat ini dipercayai telah menerima sumbangan sebanyak RM91,000.

Hussin berkata, hasil maklumat dan siasatan mendapati suspek menyebarkan berita palsu berkenaan 14 ahli keluarga meninggal dunia akibat Covid-19 itu bagi mendapatkan sumbangan derma sejak bulan Jun lalu.

Suspek kini direman selama empat hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari 10 tahun dan dengan sebat juga boleh dikenakan denda. 

Terdahulu Petronas dalam kenyataan menafikan dakwaan seorang individu yang merupakan kakitangan kontraktornya telah kehilangan 14 ahli keluarga akibat wabak Covid-19.

Kenyataan itu memberitahu, individu berkenaan telah ditahan pihak berkuasa kerana membuat kenyataan palsu berhubung perkara tersebut.