Semua Operasi Cruise Genting Dream Dibatalkan Sementara Disebabkan COVID-19

TERKINI
February 21, 2020 - 05:37 PM


Dream Cruise buat sementara waktu membatalkan dan menangguhkan kesemua operasi kapal cruise Genting Dream mereka yang berlabuh dari Singapura kerana bimbang terhadap coronavirus.

Kalau diikutkan, perjalanan seterusnya kapal persiaran ini akan berlabuh pada 23 Februari dan ianya kini dibatalkan dan kesemua tetamu boleh memilih tarikh lain atau mendapatkan pampasan penuh terhadap bayaran mereka.

Menurut Presiden Dream Cruise, Michael Goh, mereka dengan berat hati menangguhkan operasi kapal persiaran mereka dari Singapura sebagai langkah mengurangkan risiko penularan atau jangkitan COVID-19 selain halangan perjalanan yang semakin ketat dikeluarkan oleh beberapa negara.

Buat masa ini, pihak Dream telah menambah langkah berjaga – jaga bagi keseluruhan pelayaran mereka termasuklah melakukan ujian saringan kesihatan dan suhu badan tetamu serta menambah protokol membasmi kuman terhadap krew mereka untuk memastikan kesemua tetamu dan anak kapal mereka terselamat.

Tambah pihak Dream lagi, tiada kes coronavirus yang dilaporkan berlaku diatas kapal persiaran mereka namun atas keselamatan ramai, pihak mereka secara sukarela menangguhkan semua operasi kapal pelayaran mereka yang berpangkalan di Singapura sehingga 26 Mac nanti.