Sila Tangguh Perjalanan Ke Catalonia, Sepanyol : Wisma Putra

TERKINI
October 17, 2019 - 11:42 AM


Siapa antara anda yang mempunyai rancangan untuk melawat atau bercuti ke wilayah Catalonia di Sepanyol?

Jika ada, mungkin anda perlu menangguhkan sementara hasrat itu memandangkan keadaan semasa di kawasan berkenaan yang menyaksikan protes besar-besaran bermula sejak 13 Oktober lepas.

Malah, Kementerian Luar turut menasihatkan rakyat Malaysia yang berhasrat melakukan perjalanan yang kurang penting supaya membatalkannya buat sementara waktu.



Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan "bagi rakyat Malaysia yang melawat Barcelona dan komuniti Malaysia yang tinggal Catalonia, mereka dinasihatkan supaya memberi keutamaan tertinggi kepada keselamatan mereka dan mengelak sebarang perhimpunan serta demonstrasi.

"Mereka juga dinasihatkan supaya mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan. Pihak kementerian akan terus memantau keadaan ini dengan rapi,”
tambahnya.

Mana-mana rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan dan perkhidmatan konsular boleh menghubungi nombor-nombor berikut:

- Pegawai Bertugas Wisma Putra dengan menelefon +603 8887 4570 (24 jam)

- Kedutaan Malaysia di Madrid, Sepanyol dengan menelefon +(34)91 555 0684 atau +(34)91 5550737

- Pegawai di Kedutaan Malaysia +(34) 629 725 772 or +(34) 659 894 943

Tunjuk perasaan di Sepanyol itu yang semakin meruncing sejak beberapa hari ini telah mengakibatkan ratusan penerbangan dibatalkan, laluan metro dan kereta api ditutup.

Malah, landasan kereta api berkelajuan tinggi yang menghubungkan Barcelona dan bandar Girona (di timur laut Sepanyol) serta jalan-jalan yang menghubungkan bandar itu ke lapangan terbang turut disekat oleh penunjuk perasaan.

Lebih parah apabila berpuluh tunjuk perasaan dilaporkan cedera dalam pertempuran dengan pihak berkuasa oleh gerakan yang menuntut kemerdekaan Catalonia itu.

Sumber: Bernama

 

Destination: