SOP Solat Jumaat & Solat Jemaah Di Masjid Akan Diketahui Khamis Ini

PANAS
May 12, 2020 - 05:30 PM


Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi solat Jumaat dan solat berjemaah di masjid sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), dijangka diketahui Khamis ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, garis panduan itu akan dibincangkan dan diperhalusi dalam satu mesyuarat bersama Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin petang ini.

Selepas ia dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet pada esok hari, pandangan berkenaan kemudiannya akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Majlis Raja-Raja dan pihak berkuasa negara.

Segala SOP yang akan dilaksanakan itu juga adalah tertakluk kepada semua saranan daripada Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara.

Ketika ditanya mengenai keputusan Perlis membenarkan Solat Jumaat bersyarat mulai 15 Mei ini, Zulkifli berkata perkara itu tertakluk kepada bidang kuasa negeri masing-masing. 

Manakala mengenai solat Hari Raya Aidilfitri beliau berkata, pihaknya juga akan berbincang mengenai perkara itu secara khusus dalam masa terdekat. 

Sementara itu, Kerajaan negeri Pahang akan membentangkan cadangan SOP bagi membenarkan solat Jumaat berjemaah sepanjang PKPB, dengan SOP itu diteliti Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dan Jabatan Mufti Pahang.

Antara SOP yang dicadangkan adalah :-

1) Mengehadkan jumlah jemaah terdiri daripada mereka yang kurang berisiko

2) Mewajibkan pendaftaran jemaah kerana tidak mahu jemaah yang berisiko seperti warga emas yang uzur dan kanak-kanak, turut serta dalam solat

3) Mewajibkan membawa sejadah sendiri dan menggunakan penutup hidung dan mulut

4) Menguji keberkesanan SOP itu secara berperingkat kepada beberapa masjid terpilih daripada 650 masjid di Pahang

Sumber: Bernama

Destination: 
Artikel berkaitan