Masjid & Surau Di Seluruh Wilayah Persekutuan Dibenar Buka Semula
TERKINIBersempena 'Penghulu Segala Hari', Jumaat pada esok (9 Julai) -- kesemua masjid dan surau di seluruh Wilayah Persekutuan dibenarkan untuk dibuka semula kepada para jemaah.
Keputusan pembukaan semula rumah ibadat bagi umat Islam itu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Malah, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) juga telah mengeluarkan kenyataan untuk membenarkan seramai 300 jemaah untuk menunaikan solat Jumaat dan solat Aidiladha di Masjid Wilayah Persekutuan.
Sementara, 100 orang di Masjid Pusat Zon; Masjid Kariah dan surau Jumaat (50 orang); surau Kebenaran Khas Solat Jumaat (40 orang); surau Jumaat Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) (12 orang).
Manakala bagi kawasan di bawah PKPD, solat fardu dilaksanakan tiga orang sahaja di semua masjid, surau Jumaat dan surau. Manakala solat Jumaat digantikan dengan solat zohor.
Bagaimanapun, jemaah diingatkan supaya sentiasa menjaga penjarakan sosial dan mematuhi SOP ketat agar selamat dari virus Covid-19.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menyeru umat Islam agar mengunjungi masjid selepas ia dibenarkan dibuka semula kerana mengimarahkan masjid adalah wajib sebagai orang Islam.
“Allah pun suruh imarah dan sepatutnya kita imarah masjid dengan datang ke masjid terutama solat Jumaat fardhu, di mana yang penting ikut SOP,” katanya.
Sumber: Astro Awani