Sultan Nazrin Perkenan Solat Berjemaah Di Perak, Had Maksimum Jemaah 40 Orang

TERKINI
January 27, 2021 - 06:50 PM


Hari ini, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memperkenankan solat jemaah fardhu dan solat jumaat di surau dan masjid di seluruh Perak. Ini termasuklah di dalam bangunan institusi, universiti, pejabat, sekolah, maktab, kilang, dan syarikat bagi memberi peluang untuk solat berjemaah ketika waktu PKP dan PKPB di Malaysia. Jadi kalau korang duduk di Perak, selepas ni boleh kembali solat berjemaah di masjid dan surau. Best kan?

Menurut Datuk Seri Mohd Annuar Zaini, Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Ada Melayu Perak, perkenan tersebut dizahirkan apabila Sultan Perak menimbang sembah cadangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) yang berlandaskan nasihat dari Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak beserta pandangan dari Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negeri Perak.

Jumlah maksimum bagi kebenaran ini adalah seramai 40 orang sahaja bagi setiap masjid atau surau untuk solat fardhu, jumaat, dan jenazah. 40 orang ini juga tidak termasuk ahli jawatankuasa serta pegawai masjid atau surau di sana. Linkungan umur pula adalah dari 16 tahun hingga 70 tahun dan hanya lelaki warganegara Malaysia sahaja yang dibenarkan.

Aktiviti agama yang berunsur ilmu dibenarkan diadakan di masjid dan surau sementara menunggu waktu solat fardhu masuk tetapi perlu dihentikan sebaik sahaja masuk waktu fardhu Isyak. Dan acara jamuan di dalam atau di luar masjid juga tidak dibenarkan ya. JAIPk akan bertanggungjawab mengeluarkan garis panduan SOP yang lengkap untuk kesemua masjid dan surau dan memantau pematuhan di lokasi tersebut.

Sumber: Berita Harian

Destination: