Sweden Isytihar "Bebas" Covid 19, Biarpun Ditentang Saintis
TERKINISweden membatalkan hampir semua sekatan dan menghentikan ujian saringan COVID-19 percuma, walaupun tekanan sistem penjagaan kesihatan kekal tinggi dan beberapa saintis menggesa lebih banyak kesabaran dalam memerangi pandemik itu.
Kerajaan Sweden sebelum ini memilih untuk tidak melakukan perintah berkurung sebaliknya menggunakan pendekatan sukarela sepanjang pandemik, namun mengumumkan akan membatalkan sekatan yang masih berkuat kuasa dengan mengisytiharkan COVID-19 berakhir, kerana vaksinasi dan varian Omicron mengurangkan kes dan kematian.
"Seperti kita ketahui, pandemik ini saya katakan ia sudah berakhir," kata Menteri Kesihatan Lena Hallengren kepada Dagens Nyheter selain menambah COVID-19 tidak akan lagi diklasifikasikan sebagai bahaya kepada masyarakat.
Sejak semalam, bar dan restoran sekali lagi dibenarkan beroperasi selepas jam 11 malam tanpa had bilangan tetamu. Had kehadiran bagi tempat tertutup lebih besar juga ditarik balik serta penggunaan pas vaksin.
Biarpun hospital di Sweden masih mengalami tekanan dengan kira-kira 2,200 kes COVID-19 memerlukan penjagaan hospital, hampir sama semasa gelombang ketiga pada musim bunga 2021.
Memandangkan ujian saringan COVID-19 percuma dikurangkan sejak awal bulan ini dan dihentikan mulai semalam, tiada siapa mengetahui bilangan kes yang tepat.
Profesor virologi di Universiti Umea yang juga antara pengkritik paling tegar terhadap dasar larangan sekatan pergerakan Sweden, Fredrik Elgh, berkata kerajaan perlu bersabar sedikit lagi, sekurang-kurangnya beberapa minggu lagi dan berkeupayaan untuk terus membuat saringan.