Tahu Sekarang Tengah Syok Bercuti Pulau, Tapi Janganlah Sampai Nyawa Penyu Tergadai!

TERKINI
September 22, 2020 - 12:41 PM


Sekarang ini tidak dinafikan ramai rakyat Malaysia yang mengambil peluang untuk bercuti di seluruh negara, memandangkan pintu sempadan belum dibuka untuk mereka melancong ke luar.

Antara destinasi popular yang menjadi tumpuan pastinya pulau-pulau cantik yang ada di negara kita seperti Pulau Redang, Perhentian, Tioman, Langkawi dan sebagainya.

Kalau dah namanya bercuti ke pulau, mestilah banyak juga aktiviti yang akan dilakukan sepanjang berada di sana seperti menyelam, snorkeling, berkayak, memancing serta bermacam lagi.

Tetapi malangnya dalam keseronokan kita bercuti mungkin kadang-kala kita terlupa tentang tanggungjawab kita sebagai seorang warganegara yang seharusnya peka dan prihatin dalam menjaga kelestarian khazanah laut serta alam sekitar.

Terbaharu, di media sosial kecoh apabila ramai yang mengecam tindakan seorang gadis di Facebook yang berkongsi pengalaman percutiannya ke Pulau Perhentian, Terengganu baru-baru ini.

Ia berikutan tindakan gadis itu yang seakan berpuas hati dengan perkhidmatan diberikan oleh seorang operator bot di pulau terbabit, sehinggakan impiannya untuk bergambar dengan penyu berjaya ditunaikan tanpa mengambil kira keadaan spesies haiwan terancam itu yang ditarik naik dengan selamba oleh boatman sambil hanya memegang cengkerang penyu terbabit.

Rata-rata netizen di media sosial menyifatkan perbuatan seperti itu adalah tidak wajar dan menyalahi undang-undang serta boleh mengancam keselamatan spesies haiwan berkenaan.

Bahkan, ramai juga yang menyelar tindakan operator bot terbabit yang sanggup menggadaikan keselamatan spesies haiwan berkenaan yang menjadi ikonik Negeri Terengganu, semata-mata demi memuaskan permintaan pelanggan mereka.

Kalau korang nak tahu sebenarnya tak salah jika kita nak buat aktiviti snorkeling -- tetapi ada etika dan tatacara yang perlu dipatuhi seperti di bawah ini:

Jadi jomlah kita sama-sama menjadi warga yang bertanggungjawab dalam menjaga kelestarian alam serta hidupan laut. Jangan sebab kita alpa dek seronok sangat bercuti, habis musnah semua khazanah berharga untuk anak cucu kita nanti...

 

 

 

Destination: