Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan sehingga 12 Mei 2020

TERKINI
March 25, 2020 - 01:45 PM


Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat 90 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 3,542 kes (63.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes). Seperti tren yang dilihat kebelakangan ini, bilangan kes yang didiscaj hari ini adalah melebihi bilangan kes yang dilaporkan.

Sehingga 23 April 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat 71 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 5,603 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,966 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Sehingga kini, seramai 42 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 21 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan dua (2) lagi kes kematian berkaitan COVID-19. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 95 kes (1.70 peratus daripada jumlah keseluruhan kes):

Kes kematian ke-94 (kes ke-3871) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 32 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi. Beliau merupakan anggota perubatan KKM dan mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif COVID-19 iaitu kes ke-3662 (yang berkaitan dengan kluster hospital pakar Muar, Johor). Beliau telah dirawat di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, Johor pada 6 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 23 April 2020 jam 12.36 tengah malam. Ini merupakan kematian ketiga di kalangan anggota kesihatan KKM.

Kes kematian ke-95 (kes ke-4129) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 67 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung dan penyakit buah pinggang. Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif COVID-19 iaitu kes ke-1575 (yang berkaitan dengan kluster PUI Bali). Beliau telah dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Pahang pada 8 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 22 April 2020 jam 11.48 malam.