Travel Alert: Rakyat Malaysia Di Rantau Teluk Segera Daftar Diri Di Kedutaan!

TERKINI
January 09, 2020 - 12:06 PM


Semalam dunia dikejutkan dengan nahas pesawat Boeing 737 milik Ukraine International Airlines yang terhempas di Iran, mengakibatkan 176 orang terkorban.

Nahas udara terbaru itu berlaku di saat konflik membabitkan Amerika Syarikat (AS) dan Iran selepas republik melancarkan serangan roket balas dendam terhadap pangkalan tentera AS di Iraq.

Manakala AS pula menyerang satu konvoi dan membunuh komander tertinggi Iran, Qasem Soleimani, dalam serangan dron pada Jumaat lalu.

Disebabkan konflik dua negara itu, Kementerian Luar Malaysia menasihatkan rakyat Malaysia yang menetap atau dalam perjalanan ke Asia Barat dan rantau Teluk supaya lebih berhati-hati dan mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan mereka.

Malah, semua rakyat Malaysia yang belum mendaftar diri dengan misi diplomatik Malaysia, supaya berbuat demikian di kedutaan terdekat atau konsulat jeneral Malaysia dengan segera.

Pendaftaran juga boleh dilakukan menerusi emel dan segala maklumat mengenai kedutaan Malaysia di luar negara boleh dirujuk di laman web https://www.kln.gov.my/web/guest/malaysian-mission

Rakyat Malaysia yang tinggal, bekerja atau melancong di Negara Teluk seperti Iraq, Syria dan Yaman dikehendaki mendaftar dengan kedutaan seperti berikut :-

* Rakyat Malaysia di Iraq mendaftar dengan Kedutaan Malaysia di Amman, Jordan.

* Mereka yang berada di Syria, mendaftar dengan Kedutaan Malaysia di Beirut, Lubnan.

* Rakyat Malaysia di Yaman, mendaftar dengan Kedutaan Malaysia di Muscat, Oman.

Sementara itu, mana-mana rakyat Malaysia yang berhasrat untuk melakukan perjalanan ke rantau bergolak tersebut adalah dinasihatkan agar menangguhkan sekiranya urusan itu tidak penting.

Bahkan, Malaysia Airlines juga dilaporkan mengelak daripada menggunakan laluan udara Iraq bagi penerbangan dua hala untuk destinasi London, Jeddah dan Madinah bagi menghindar sebarang kejadian yang tidak diingini daripada berlaku.

Sumber: FB Wisma Putra

Destination: