Untung Rakyat Jepun Dapat Pasport Vaksin Percuma Bagi Ke Luar Negara
TERKINIBeruntungnya jadi rakyat Jepun!
Mana tidaknya, Negara Matahari Terbit itu dijangka bakal mengeluarkan Pasport Vaksin secara percuma untuk kemudahan rakyatnya melakukan perjalanan ke luar negara.
Ketua Setiausaha Kabinet, Katsunobu Kato berkata dokumen imunisasi yang akan menjadi bukti sudah menerima vaksinasi COVID-19 itu akan dikeluarkan mulai 26 Julai ini.
Oleh itu, warganegara Jepun boleh memohon sijil tersebut di majlis perbandaran mengikut pendaftaran untuk menerima suntikan vaksin.
"Laman web Kementerian Luar akan menyenaraikan negara dan wilayah yang memudahkan proses kuarantin bagi mereka yang memiliki pasport vaksin," kata Encik Kato dalam sidang media.
Untuk rekod -- Jepun melaporkan 818,690 kes COVID-19 termasuk 14,948 kematian setakat ini.
Negara itu melancarkan kempen vaksinasi pada Februari lalu dengan pemberian suntikan 57.4 juta dos, menurut laman web Our World in Data.
Sementara, kira-kira 17 peratus daripada 126 juta penduduknya sudah lengkap menerima dua dos vaksin.
Kerajaan Jepun setakat ini telah meluluskan tiga jenis vaksin iaitu Pfizer-BioNTech, Oxford-AstraZeneca dan Takeda-sejenis vaksin mRNA keluaran tempatan dari firma Amerika Syarikat Moderna.
Jepun bakal menjadi tuan rumah Sukan Olimpik yang dijadual bermula 23 Julai, selepas ditangguhkan tahun lepas akibat pandemik.
Acara di Tokyo akan berlangsung tanpa kehadiran penonton berikutan perisytiharan darurat COVID-19 di bandar tersebut.
Sumber: Japan Today