Makin Panas Isu Festival Bon Odori. Ini Sejarah & Fakta Menarik Mengenai Sambutan Masyarakat Jepun Itu!

TERKINI
June 09, 2022 - 03:08 PM


Sejak beberapa hari ini, semakin hangat dan bertambah panas isu mengenai sambutan Festival Bon Odori yang bakal diadakan di Kompleks Sukan Negara Shah Alam, Selangor pada 16 Julai ini.

Ini susulan ia didakwa mengandungi unsur agama Buddha Jepun yang menyebabkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad menasihatkan agar umat Islam di negara ini tidak menyertainya.

Malah, pihak Mufti juga menyarankan perkara yang sama atas alasan ia dibimbangi mampu merosakkan akidah umat Islam.

Lebih membimbangkan poster promosi festival itu turut memperlihatkan anime wanita berhijab dalam persalinan kimono.

Bagaimanapun, hari ini (9 Jun) -- Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menerusi kenyataan rasmi di Facebook Selangor Royal Office bertitah bahawa sebenarnya Bon Odori dirai bagi mengeratkan semangat muhibah di antara rakyat Malaysia dengan komuniti Jepun yang bekerja dan bermastautin di negara ini.

Baginda sendiri pernah menghadiri sambutan perayaan ini pada tahun 2016 diiringi oleh Duta Besar Jepun ke Malaysia dan menerusi pemerhatian Baginda, sambutan Bon Odori tidak melibatkan upacara berbentuk keagamaan atau ritual (syirik) yang boleh memesongkan akidah mereka yang hadir menyaksikan.

Justeru, Baginda telah menitahkan pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan wakil Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk hadir ke festival tersebut bagi mendapatkan gambaran sebenar dan memastikan sambutannya tidak merosakkan akidah umat Islam.

BERIKUT SEJARAH BAGAIMANA SAMBUTAN FESTIVAL BON ODORI INI BERMULA DI MALAYSIA :-

1) Festival Bon Odori yang telah diraikan di Malaysia sejak berpuluh tahun, adalah hanya satu perayaan kebudayaan.

2) Di Malaysia, khususnya Selangor -- Bon Odori diraikan bagi mengeratkan semangat muhibah di antara rakyat Malaysia dengan komuniti masyarakat Jepun yang bekerja dan bermastautin di negara ini.

3) Perayaan ini menjadi popular apabila banyak syarikat-syarikat dari Jepun melabur dan membuka cawangan kilang mereka di Negeri Selangor. Justeru, Bon Odori menjadi platform memperkenalkan budaya hiburan Jepun di samping merapatkan hubungan antara rakyat kedua-dua buah negara.

4) Sambutan Bon Odori di Malaysia adalah lebih kepada festival kebudayaan yang mempamerkan budaya tradisional rakyat Jepun khususnya tarian, persembahan gendang, perhiasan tanglung, pakaian dan makanan tradisi Jepun, serta produk makanan tempatan.

5) Ia juga dipromosikan sebagai hari untuk menyatukan kembali keluarga dan rakan-rakan yang sudah lama tidak bertemu.

Kredit: shadesofqaeds.com

INI PULA SIMBOLIK FESTIVAL BON ODORI YANG MULA DISAMBUT DI NEGARA ASALNYA, JEPUN :-

- Disebut Obon atau Bon, ia adalah adat penganut agama Buddha di Jepun bagi menghormati roh nenek moyang mereka dengan pulang ke kampung halaman untuk melawat kediaman atau kubur.

- Kebiasaannya, ahli keluarga akan membersihkan kubur nenek moyang mereka, membawa makanan kegemaran serta menggantung tanglung untuk membimbing roh ke alam lain.

- Tradisi popular ketika festival ini adalah Bon Odori yang merujuk kepada sebuah tarian yang dipersembahkan ketika acara itu.

- Terdapat beberapa tarikh berbeza untuk perayaan itu bergantung kepada kalendar yang diikuti dan perbezaan ini datangnya daripada peralihan kalendar lunar ke kalandar Gergorian.

- Shichigatsu Bon ata Bon pada bulan Julai (15 Julai) Shichigats ialah tempoh yang secara tradisinya disambut di wilayah Kanto dan Tohoku. Manakala Hachigatsu Bon atau Bon in August (15 Ogos) pula adalah yang paling diraikan antara ketiga-tiga tarikh Obon.

- Kyureki Bon atau Old Bon (Antara 8 Ogos dan 7 September) mengikut tarikh tradisional Obon (hari ke-15 dalam bulan ketujuh dalam kalendar lunar) jadi apabila ia disambut berbeza setiap tahun. Ia disambut terutamanya di wilayah Okinawa.

- Walaupun Obon bukan cuti umum, ia masih menjadi kebiasaan bagi pekerja untuk mengambil cuti untuk meraikan cuti tersebut.

- Meskipun festival Obon berteraskan kepada upacara keagamaan, namun sejajar dengan peredaran zaman -- penganjurannya mula berubah dan dilihat sebagai perhimpunan sosial bagi merasai budaya dan hiburan Jepun.

- Bagi masyarakat Jepun, festival ini juga adalah peluang mereka untuk pulang ke kampung halaman dan meluangkan masa bersama keluarga selain mencuci kubur nenek moyang dan menyalakan tanglung.

- Selain daripada Bon Odori yang merujuk kepada tarian tradisional yang dipersembahkan semasa perayaan itu, Gozan Okuribi Ritual Fires adalah salah satu upacara unik di Kyoto.

- Semasa upacara ini, unggun api dinyalakan di lima lereng gunung dipercayai untuk memberi pelepasan yang baik kepada roh. Unggun api ini biasanya dapat dilihat dari jauh dan dibuat dalam bentuk aksara dan gerbang torri dan perahu.

- Hari ini, tarian Bon Odori telah berevolusi sebagai hiburan semasa perayaan itu namun masih mengekalkan tradisi yang telah diamalkan sejak berabad lamanya.

- Kini ia dipersembahkan di tempat awam menerusi festival dan di jalanan serta kuil malah gaya tarian, pakaian dan muzik yang berbeza digunakan ketika persembahan.

Destination: