Viral Gambar Banjir Rumah Pusaka Hanya Tinggal Tangga, Ini Kisahnya...

TERKINI
December 20, 2021 - 04:46 PM


Sejak kejadian banjir yang melanda beberapa negeri termasuk Kuala Lumpur dan Selangor pada beberapa hari lalu -- viral di media sosial dengan gambar-gambar yang sungguh menyayat hati.

Antaranya, gambar rumah dinaiki air sehingga ke bumbung, anak-anak kecil kesejukan menyelamatkan diri di atas bumbung rumah serta yang paling membuatkan hati netizen meruntun hiba adalah gambar sebuah rumah pusaka di Hulu Langat, Selangor yang cantik tetapi hanya tinggal tangga sahaja selepas ia musnah dibadai banjir besar.

Ini kisah di sebalik gambar yang menyayat hati itu, memetik sumber daripada Bernama.

"Saya hanya mampu terkedu apabila menerima perkhabaran daripada kakak sulung yang memberitahu rumah pusaka keluarga kami dihanyutkan arus deras banjir," itulah reaksi Rodiah Mahfuz apabila mendapat tahu rumah pusaka keluarganya yang berusia lebih 50 tahun dihanyutkan pada Sabtu.

Rodiah, 56, yang menetap di Bangsar, pada mulanya tidak percaya rumah pusaka yang terletak di Batu 18, Kampung Jawa, Hulu Langat, di sini dihanyutkan, namun setelah menerima beberapa gambar rumah itu menerusi WhatsApp kiriman kakaknya, barulah dia percaya kejadian itu benar-benar berlaku.

"Sebelum ini memang pernah beberapa kejadian banjir namun tidaklah sampai menghanyutkan rumah pusaka keluarga, yang kini hanya tinggal tangga batu.

"Rumah berkenaan didiami kakak sulung saya (Rohana Mahfuz, 75,) yang memaklumkan paras air mula naik di rumah berkenaan pada kira-kira 12 tengah malam semalam.

"Menyedari kejadian itu, kakak saya terus bergegas keluar dengan menaiki kereta ke rumah saudara berhampiran," katanya kepada Bernama ketika dihubungi pada Ahad.

Rodiah juga memaklumkan beberapa dokumen penting peribadi kakaknya seperti kad pengenalan, selain perabot dan barangan lain di rumah itu tidak dapat diselamatkan kerana keadaan banjir yang di luar jangkaan itu.

P/S: Marilah kita sama-sama menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir serta mendoakan semoga mereka tabah dan dipermudahkan segala urusan. 

Sumber: BERNAMA

Destination: