Warga Bujang Jangan Gelisah, Kedai Makan Boleh Buka Sampai Sahur

TERKINI
April 13, 2021 - 05:14 PM


Bagi golongan bujang, ataupun korang yang malas nak fikir nak masak apa untuk sahur, korang dah boleh bertenang sebab restoran, gerai, kedai makan dan kedai kopi dibenarkan untuk beroperasi hingga waktu sahur, sepanjang bulan Ramadhan. 

Keputusan itu diambil bagi memberi peluang kepada orang ramai terutama yang masih bujang untuk mendapatkan juadah untuk bersahur. Bagaimanapun, kebenaran itu hanya terpakai sepanjang Ramadhan sahaja, manakala restoran dan kedai makan yang beroperasi dalam pasar raya perlu mengikut waktu operasi pasar raya. 

Selain itu, penganjuran majlis berbuka puasa turut dibenarkan, dengan syarat mematuhi prosedur operasi standard (SOP). Biarpun sajian secara bufet dibenarkan, penganjur perlu menggunakan khidmat pramusaji untuk menyendukkan makanan selain digalakkan membuat sajian berhidang.

Antara SOP am bagi bufet Ramadan dan majlis berbuka puasa termasuk menetapkan dan menandakan secara jelas laluan khas keluar dan masuk tetamu atau pelanggan dan perimeter kawasan majlis atau tempat berbuka puasa terutamanya bagi penganjuran majlis di tempat terbuka atau rumah persendirian.

Tuan rumah juga perlu memastikan kaunter pendaftaran disediakan di pintu masuk bertujuan memastikan bilangan kehadiran, membuat pemeriksaan suhu badan dan mendaftarkan tetamu menggunakan aplikasi MySejahtera atau secara manual.

Mereka juga perlu menjalankan pembersihan dan disinfeksi mengikut garis panduan KKM sebelum dan selepas majlis berbuka atau bufet Ramadhan di kawasan ruang majlis atau ruang makan, kerusi dan meja, alatan katering, surau, tandas dan mana-mana kawasan, permukaan atau alatan atau barangan yang kerap disentuh.

sumber: BH Online

Destination: